Produktiviti buruh meningkat 2.7 peratus pada suku pertama 2022 - Perangkaan
Bernama
Mei 19, 2022 07:00 MYT
Mei 19, 2022 07:00 MYT
PUTRAJAYA: Produktiviti buruh Malaysia, yang digambarkan sebagai nilai tambah per pekerja meningkat 2.7 peratus pada suku pertama 2022 (ST1 2022) dengan merekodkan RM23,129 seorang berbanding RM22,500 seorang pada suku yang sama tahun lepas.
"Pekerja yang merekodkan 15.6 juta orang, naik 2.2 peratus.
"Ini berikutan pelonggaran sekatan prosedur operasi standard yang membenarkan majlis berskala besar dan perhimpunan sosial, serta perniagaan yang beroperasi pada kapasiti penuh apabila negara telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.
"Situasi ini telah menyebabkan peningkatan yang menggalakkan dalam pasaran buruh pada suku tersebut," kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada Khamis berikutan pengumuman laporan prestasi produktiviti buruh suku tahun pertama 2022.
Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, beliau berkata jumlah jam bekerja tertinggi dicatatkan pada suku ini dengan 4.6 peratus yang merekodkan 8.9 bilion jam apabila waktu operasi perniagaan adalah lebih panjang pada suku ini.
"Dari sudut sektor ekonomi, tiga sektor mencatatkan pertumbuhan positif berdasarkan produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja pada suku tersebut iaitu perkhidmatan, pembuatan dan pertanian," katanya.
Mohd Uzir berkata dengan indikator penunjuk ekonomi yang lebih memberangsangkan, ekonomi serta pasaran buruh akan terus berkembang pada bulan-bulan ke hadapan.
-- BERNAMA