Produktiviti buruh meningkat 10.1 peratus pada suku ketiga susulan aktiviti rancak ekonomi
Bernama
November 17, 2022 16:07 MYT
November 17, 2022 16:07 MYT
KUALA LUMPUR: Produktiviti buruh Malaysia yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per pekerja meningkat 10.1 peratus dalam suku ketiga 2022 berbanding 5.5 peratus pada suku kedua selari dengan kerancakan semula ekonomi yang menyaksikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mengukuh sebanyak 14.2 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bilangan pekerja bagi suku ketiga meningkat 3.6 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku kedua sekali gus merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM24,241.
"Produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turut meningkat hampir tiga kali ganda kepada 3.8 peratus berbanding 1.3 peratus pada suku kedua 2022.
"Jumlah jam bekerja naik pada suku ini dengan catatan 10.0 peratus yang merekodkan 9.0 bilion jam selari dengan pengembangan prestasi ekonomi negara berdasarkan pelbagai indikator termasuk data terkini bagi bulan September 2022," kata Jabatan Perangkaan.
Mengikut sektor ekonomi, produktiviti buruh bagi nilai ditambah per pekerja pada suku ini menunjukkan peningkatan dalam semua sektor dengan produktiviti buruh tertinggi dicatatkan oleh sektor pembinaan pada 14.9 peratus.
Sektor perkhidmatan turut mencatatkan pertumbuhan dua digit pada 11.4 peratus dengan semua subsektor merekodkan pertumbuhan positif, dengan subsektor makanan dan minuman serta penginapan mencatatkan pertumbuhan produktiviti paling tinggi pada 43.7 peratus.
Produktiviti sektor pembuatan tumbuh 8.2 peratus pada suku kedua 2022 dengan kadar pertumbuhan tertinggi dicatatkan oleh subsektor minuman dan produk tembakau pada 49 peratus. Ini diikuti oleh subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan pada 30.5 peratus, subsektor produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan pada 13.2 peratus dan produk elektrik, elektronik dan optikal pada 11.5 peratus.
Pada suku ketiga 2022, produktiviti buruh bagi nilai ditambah per pekerja bagi perlombongan dan pengkuarian dan pertanian kembali pulih mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 8.8 peratus dan 1.8 peratus.
Mengukur produktiviti bagi nilai ditambah per jam bekerja, sektor perkhidmatan meningkat paling tinggi pada 6.0 peratus diikuti perlombongan dan pengkuarian pada 4.2 peratus dan pembuatan pada 1.4 peratus.
"Kerancakan semula aktiviti ekonomi dan sosial serta turut disokong oleh keadaan pasaran pekerjaan dan pendapatan yang bertambah baik telah diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh
"Sejajar dengan perkembangan tersebut, pasaran buruh juga dijangka akan terus berada dalam kedudukan yang berdaya saing pada bulan bulan seterusnya," katanya.
-- BERNAMA