Produk tenusu Summerfield, Didi & Friends promosi susu sebagai makanan sihat

Astro Awani
Jun 26, 2022 17:52 MYT
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua dari kanan) melancarkan kolaborasi Summerfield dan animasi Didi & Friends di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hybrid Allied Dairy Company Sdn Bhd (HADC) bersama rakan strategik Warnakala Studio Sdn Bhd dan Astro Malaysia berkolaborasi dalam strategi pemasaran bagi mempromosikan produk Malaysia kepada Keluarga Malaysia.
Menerusi kerjasama tersebut, animasi nombor satu negara, Didi & Friends bersama produk tenusu, Summerfield akan mempromosikan susu sebagai makanan sihat kepada masyarakat terutamanya kepada kanak-kanak.
"Bagi menggalakkan masyarakat Malaysia untuk menjadikan susu sebagai makanan penting dalam kesihatan, Summerfield telah mengeluarkan susu UHT dengan pelbagai perisa seperti susu penuh krim, coklat, strawberi, coklat karamel dan teh susu sebagai pilihan kepada pelanggan.
"Dalam kolaborasi ini, Didi & Friends memperkenalkan sahabat baharu mereka iaitu Mumu yang merupakan seekor lembu tenusu yang akan menjadi maskot kepada produk Summerfield," kata HADC dalam satu kenyataan, hari ini.
Summerfield merupakan produk jenama yang dihasilkan oleh HADC.
Terdahulu, majlis pelancaran kolaborasi Summerfield dan animasi Didi & Friends dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar di sebuah pusat beli belah, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut membuat kejutan menghadiri acara Hujung Minggu bersama Didi & Friends yang merupakan anjuran Astro dengan kerjasama Warnakala Studios. di pusat beli belah berkenaan.
Beliau meluangkan masa beramah mesra bersama ibu bapa dan anak anak yang sedang menyanyi bersama Didi & Friends dalam acara berkenaan.
Para peminat siri animasi yang bersiaran di saluran Astro Ceria ini meluangkan masa bersama keluarga mereka dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik dengan Didi dan rakan-rakannya, pada hari terakhir program berkenaan, hari ini.
Sementara itu, HADC berkata kolaborasi Summerfield dan Didi & Friends dijangka memberi manfaat kepada usahawan tempatan Summerfield dalam mempromosikan produk-produk tenusu tersebut di pasaran tempatan.
Keadaan itu, ujarnya dapat membantu meningkatkan jualan, sekali gus dapat membantu usahawan tempatan Summerfield menjana pendapatan yang lebih lumayan.
Dalam pada itu, Summerfield dan Didi & Friends akan menggerakkan promosi secara besar-besaran ke seluruh negara untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pengambilan makanan yang seimbang dan cukup nutrisi bagi tumbesaran.
"Isu tumbesaran tidak normal akibat pengambilan makanan tidak seimbang adalah perkara yang sangat serius di negara ini.
"Didi & Friends akan mengeluarkan klip video belajar sambil berhibur tentang kebaikan meminum susu. Summerfield dan Didi & Friends juga akan turut serta dalam acara terbesar di Malaysia, MAHA 2022 yang akan diadakan tidak lama lagi," tambah kenyataan itu.
#Didi & Friends #Produk tenusu Summerfield #Astro Malaysia #berita hari ini
;