Produk minyak sawit lestari keluaran Malaysia mula dijual di Dubai - MPOC

Bernama
Februari 9, 2022 06:49 MYT
MPOC dan Lulu International Group menandatangani MoU semasa pembukaan Minggu Pertanian Lestari di Pavilion Malaysia pada Ekspo 2020 Dubai. - Facebook MPOC
DUBAI: Produk berasaskan minyak sawit Malaysia seperti makanan, kosmetik dan farmaseutikal akan mula dijual di Lulu Hypermarkets, Dubai selama tiga bulan bermula Rabu susulan kerjasama yang dimeterai di antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan Lulu International Group.
MPOC dan konglomerat multinasional India yang mengoperasikan 224 kedai runcit di 22 negara itu, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semasa pembukaan Minggu Pertanian Lestari di Pavilion Malaysia pada Ekspo 2020 Dubai.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama berkenaan, MPOC telah memperkenalkan kempen pengguna global yang dikenali sebagai Kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh dengan Kebaikan, yang dilancarkan di Lulu Hypermarket di Silicon Oasis pada Rabu.
"Kempen promosi itu adalah lanjutan daripada aktiviti kami untuk mempromosikan dan menyuntik kesedaran mengenai kelestarian minyak kelapa sawit Malaysia di Expo 2020 Dubai.
"Kami gembira untuk bekerjasama dengan Lulu International Group, yang merupakan rantaian runcit utama di Asia dan Timur Tengah bagi mempromosikan minyak kelapa sawit Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Wan Aishah Wan Hamid.
Katanya, ini merupakan kempen pengguna pertama MPOC sejak tanaman itu diserang daripada banyak aspek, oleh itu, majlis akan secara agresif menangani isu berkenaan untuk jangkauan pengguna.
"Kami berharap perkembangan ini bukan eksklusif hanya di Dubai untuk Ekspo Dubai tetapi kami berharap ianya dapat diperluaskan ke rantau MENA yang merangkumi Arab Saudi (Insya Allah)," katanya.
Kempen tersebut akan mempromosikan produk minyak sawit oleh pengeluar Malaysia, yang mana Lulu Hypermarket akan terus mengambil produk berkaitan daripada pengeluar Malaysia yang mengambil bahagian untuk dipromosikan di cawangan Lulu terpilih.
Katanya lagi, MPOC bersama-sama dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) sedang menerajui program perdagangan dan perniagaan Malaysia selama seminggu melalui minggu berkenaan mulai 7-12 Feb, yang mana program ini bertujuan menyoroti komoditi Malaysia seperti minyak sawit, lada dan koko.
"MPOC sedang mempamerkan inisiatif dan pengurusan kelestarian industri minyak sawit Malaysia. Kedua-dua aspek ini adalah penting dalam memastikan minyak kelapa sawit kekal sebagai sangga utama ekonomi negara termasuk sumber makanan yang diterima secara global.
"Inisiatif ini merangkumi skim pensijilan mandatori, garis panduan pengawalseliaan, amalan pertanian yang baik serta pembangunan teknologi termaju oleh sektor huluan, pertengahan dan hiliran industri.
"Konsep 'Komoditi Tani Lestari' selanjutnya akan menyediakan platform yang kukuh bagi Malaysia dalam memperluaskan pasaran global untuk eksport minyak sawit. Sektor ini telah menyumbang dengan ketara dalam menyediakan pendapatan berterusan menerusi eksport komoditi mentah dan produk tambah nilai," katanya.
Pada 2021, eksport minyak sawit memberikan US$24.6 (RM102.3) bilion kepada Malaysia.
Eksport minyak sawit Malaysia pada 2021 dicatatkan pada 15.56 juta tan, manakala pengeluaran sebanyak 18.14 juta tan.
Ini juga menyumbang 24 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan 31 peratus daripada eksport.
Minyak sawit dan produk minyak sawit yang dieksport ke Timur Tengah berjumlah 2.4 juta tan atau bernilai US$1.7 bilion (US$1 = RM4.19).
Emiriyah Arab Bersatu mengambil 10 peratus daripada jumlah produk minyak sawit dan kelapa sawit yang dieksport ke rantau tersebut, bernilai US$192 juta.
Eksport minyak kelapa sawit dan produk minyak sawit ke Timur Tengah pada tahun lepas dianggarkan kira-kira US$2.5 bilion. Ianya banyak digunakan dalam sektor penggorengan perindustrian, marjerin dan pembuatan Vanaspati termasuk ramuan untuk produk kedai roti serta konfeksi.
Penyertaan keseluruhan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai telah diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA
#MPOC #Dubai #minyak sawit #Lulu International Group
;