PRN Sabah: 3,000 kg ikan bilis dalam bilik tidur, penjual bilis buntu

Hasimi Muhamad
September 24, 2020 13:47 MYT
Jelas Arham, dia terpaksa menyimpan ikan bilis tersebut di dalam bilik berdingin hawa bagi memastikan produk tersebut boleh bertahan lebih lama. - Foto Astro AWANI
Bilik tidur dipenuhi timbunan ikan bilis!
Demikian situasi yang terpaksa dihadapi seorang pengusaha ikan bilis di Bongawan, Arham Bahtiar, 38, selepas 3,000 kilogram (kg) ikan bilis masih tidak terjual susulan masalah pengangkutan ke Brunei dan Sarawak akibat COVID-19.
Jelas Arham, dia terpaksa menyimpan ikan bilis tersebut di dalam bilik berdingin hawa bagi memastikan produk tersebut boleh bertahan lebih lama.
“Masalah pengangkutan sebab peningkatan kes jangkitan di Sabah. Jadi, hendak masuk sempadan Sarawak kena buat ujian COVID-19.
“Kita sekarang tiada pengangkutan sendiri dan menumpang pengangkutan orang. Jadi, apabila menumpang, sekilo mereka ambil (bayaran) RM1.50, jadi kos kita meningkat.
“Ini sebab bukan dalam Sabah, kena ke luar negara (Brunei)... stok kami sudah hampir tiga minggu tidak terjual dan kalau kira-kira hampir RM100,000,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, keunikan produk ikan bilis yang dihasilkan mereka mendapat sambutan di pasaran Brunei dan Semenanjung Malaysia.
UNTUK PERKEMBANGAN PRN SABAH, KLIK DI SINI!
Berkongsi keunikan produknya, Arham berkata mereka menawarkan ikan bilis belah empat, berbanding belah dua yang berada di pasaran Negeri Bawah Bayu itu.
Katanya, penghasilan ikan bilis belah empat memerlukan ketelitian dalam memastikan kualiti belahan ikan bilis terjamin.
“Kalau pasaran di Brunei lagi memberansangkan sebab pertukaran duit (matawang) dolar dengan ringgit.
“Di Semenanjung kita (harga bilis) tidak mahal tetapi yang buat dia mahal sebab penghantaran, kita hantar guna kapal terbang, jadi harganya mahal.
“Sabah memang susah (untuk dapat) ikan bilis kopek empat itu kelebihan produk kami,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Arham memaklumkan ketika ini dia cuba menukar strategi pemasaran untuk memastikan ikan bilisnya terjual bagi mengelakkan kerugian.
Selain itu, dia turut menzahirkan kesyukuran kerana bantuan kerajaan sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya menampung kos operasi perniagaan.
#Arham Bahtiar #Astro Awani #berita Malaysia #cerita rakyat sabah #COVID-19 #ikan bilis #Kimanis #koronavirus #Malaysia #Muhyiddin Yassin #PRIHATIN #PRN Sabah #Sabah #Sabah Memilih
;