PRN Melaka: Grasicili bentuk agropreneur muda serba mahir bertani, berniaga
Israr Khalid
November 10, 2021 07:36 MYT
November 10, 2021 07:36 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat Grasicili berjaya mengubah stigma bahawa pertanian itu adalah satu bidang kampung dan tiada kelas, sekurang-kurangnya di Melaka.
Seiring slogannya 'Let’s Get Hot', perusahaan pertanian yang diasaskan bekas usahawan teknologi atau teknopreneur Munir Asim Abdullah itu, kini semakin hangat diperkatakan perkembangannya.
Bukan setakat penghasilan cilinya yang bermutu tinggi dan berskala besar, manfaat penerapan teknologi terkini pertanian, ia juga menjadi ‘sekolah’ yang melahirkan usahawan tani masa hadapan yang serba serbi lengkap dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan dalam dunia bisnes tani.
“Mereka ini dari kalangan graduan, yang ada diploma, sarjana, tetapi mereka melihat ada sesuatu yang unik, sebab mereka ini berkumpulan.
“Kata kuncinya adalah agropreneur, di mana apabila mereka keluar daripada program kita, mereka mampu untuk menguruskan ladang yang lebih besar dan bukan setakat menanam cili tetapi lebih daripada itu.”
Aspek perusahaan sosial adalah perkara yang amat dititikberatkan dalam program perintis berpangkalan di Bandar Teknologi Hijau, Ayer Keroh yang disertai oleh 15 pemuda dan pemudi Melaka itu.
Munir mahukan mereka ini kelak mewujudkan perusahaan yang memberi impak positif kepada sekitarnya, baik alam mahupun penduduk kampung berdekatan, seperti mewujudkan peluang pekerjaan serta pelbagai produk hiliran yang akan mencambahkan lagi perniagaan-perniagaan lain.
“Saya selalu kata pada mereka, bila keluar daripada sini mesti wujudkan perniagaan.
“Jadi mereka ini masing-masing sudah ada syarikat, kita wajibkan mesti ada syarikat dan kita akan bimbing mereka untuk bagaimana berniaga, bukan setakat cili tapi juga mungkin servis, input dan pelbagai lagi."
Kumpulan pertama sudah hampir mekar, kini Munir melihat untuk mengembangkan program itu ke tanah baharu di beberapa tempat di sekitar Melaka untuk dibangunkan oleh kumpulan agropreneur muda yang baharu.
“Kita sasarkan tahun ini sehingga Januari tahun hadapan, insya-Allah kita cuba dapatkan dalam 45 hingga 60 orang.”
Tonton temu bual penuh Nazri Kahar bersama Munir dalam program khas Melaka Memilih, di sini:
Melaka Memilih | Memperkasa Agropreneur Muda