Prima Pearl Auto sasar jual 700 unit kenderaan Toyota setiap tahun
Bernama
September 23, 2016 08:24 MYT
September 23, 2016 08:24 MYT
Prima Pearl Auto Sdn Bhd, pengedar sah UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), menyasar untuk menjual 700 unit kenderaan jenama itu setiap tahun susulan pembukaan bilik pameran baharu di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Pengurus Besar Prima Pearl Auto, K. Thinagaran, berkata pihaknya melabur kira-kira RM1 juta untuk membangunkan bilik pameran tersebut.
"Kami yakin dapat mencapai sasaran itu dengan pelbagai model kenderaan dan model baharu Toyota yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya semasa majlis pembukaan bilik pameran itu di sini, pada Khamis.
Presiden UMWT, Datuk Ismet Suki merasmikan pembukaan itu.
Thinagaran berkata syarikat itu telah beroperasi di Pulau Pinang selama 10 tahun dan dengan outlet tersebut, Prima Pearl Auto dapat menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggannya, terutama khidmat selepas jualan.
Beliau berkata ruang pameran meliputi enam lot kedai yang moden dan luas itu mampu mempamerkan sehingga empat model pada satu-satu masa, selain dilengkapi dua ruang penghantaran.
"Bilik pameran ini akan memenuhi pasaran kawasan selatan Pulau Pinang yang semakin berkembang," katanya.
Bilik pameran itu merupakan sebahagian 97 rangkaian outlet jualan dan khidmat selepas jualan Toyota di seluruh negara.
Sementara itu, Ismet berkata UMWT membariskan beberapa model yang akan dilancarkan tidak lama lagi, termasuk Vios yang dipertingkatkan serta Innova serba baharu.
"Saya yakin dengan kenderaan baharu ini, kami lebih menawarkan kenderaan yang sesuai dengan keperluan pelanggan yang pelbagai," katanya.
Beliau berkata UMWT akan terus meningkatkan tawaran produk inovatif dan menarik pada masa depan untuk menambah penguasaan pasaran. -- BERNAMA