Prestasi Sime Darby Property Kembali pulih, untung bersih suku ketiga catat RM56.13 juta

Bernama
November 29, 2022 14:40 MYT
Prestasi Sime Darby Property Bhd kembali pulih dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM56.13 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 berbanding kerugian bersih RM5.19 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prestasi Sime Darby Property Bhd (SDP) kembali pulih dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM56.13 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 berbanding kerugian bersih RM5.19 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Hasil meningkat kepada RM689.30 juta daripada RM387.38 juta sebelumnya, didorong oleh peningkatan dalam segmen pembangunan hartanah yang mencatatkan angka yang lebih tinggi sebanyak RM640.64 juta, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut SDP, kumpulan itu telah melepasi sasaran jualan tahun kewangan 2022 (FY2022) iaitu RM2.6 bilion dengan mencapai jualan RM2.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2022.
"Ini menyaksikan peningkatan 43 peratus tahun ke tahun daripada RM1.9 bilion jualan yang dicapai dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan 2021," katanya.
Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM1.79 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2022, meningkat 21 peratus tahun ke tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican berkata, kemampuan syarikat untuk mengekalkan momentum penjualan yang tinggi sejak awal tahun sehingga suku ketiga, menyarankan potensi pencapaian pendapatannya menuju penghujung tahun kewangan.
"Pelancaran produk-produk kediaman kami menerima sambutan yang tinggi termasuk 'Serenia Anira 3' di Bandar Serenia yang mencapai kadar pembelian sebanyak 80 peratus sementara kilang-kilang berkembar dan kilang-kilang sesebuah (detached factories) di Elmina Business Park turut mencatat kadar pembelian sebanyak 100 peratus," katanya.
Sime Darby Property menjangkakan lebih banyak pelancaran produk-produk perumahan dan perindustrian pada suku keempat, bersama-sama dengan produk kediaman bertingkat tinggi di Putra Heights, Selangor dan Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Berdasarkan kepada pengaktifan bank tanah dan pelancaran produk-produk baharu, syarikat kekal utuh dengan nilai tunai sebanyak RM876.2 juta serta nisbah hutang bersih pada kadar 28.2 peratus setakat 30 Sept 2022, katanya. - BERNAMA
#Sime Darby Property #untung bersih #suku ketiga #Azmir Merican
;