Prestasi perdagangan beragihan dirangsang oleh kempen dan jualan mega
Bernama
November 19, 2020 17:29 MYT
November 19, 2020 17:29 MYT
KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan beragihan pulih semula kepada -2.1 peratus dalam suku ketiga 2020 dengan nilai jualan sebanyak RM330.9 bilion berbanding RM254.2 bilion yang direkodkan pada suku kedua tahun ini.
Ini disebabkan oleh inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Mega pada Julai yang dibuat bagi merangsang ekonomi domestik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
''COVID-19 dan pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan telah memberi kesan besar kepada perdagangan beragihan. Buat pertama kalinya, pada suku kedua 2020 prestasi perdagangan domestik turun dengan ketara kepada -23.4 peratus dari 2019.
''Kempen yang dilancarkan di seluruh negara itu telah menghasilkan keputusan yang positif dengan penyertaan yang sangat baik daripada peruncit, pemilik pusat membeli-belah, pasaran dalam talian dan kerajaan negeri,'' katanya menerusi webminar secara langsung Facebook semasa majlis perasmian Kolokium Perdagangan Beragihan 2020 di sini hari ini.
Kolokium Perdagangan Beragihan 2020 selama sehari itu akan menyediakan platform kepada semua pihak untuk memberi cadangan serta idea mengenai pembangunan perdagangan beragihan pada masa depan dan juga memberi peluang perbincangan, perkongsian pengetahuan termasuk perancangan strategik mengenai pelan tindakan yang diperlukan oleh industri.
Nanta berkata COVID-19 telah memberi kesan ketara kepada perdagangan beragihan dalam banyak aspek yang mana ia menyebabkan model perniagaan dan struktur ekonomi berubah dengan mendadak.
Trend pendigitalan telah pun bermula di sini sejak lima tahun lepas tetapi tidak ada satu keadaan yang berjaya memacu proses berkenaan sehinggalah pandemik berlaku dan COVID-19 telah mempercepatkan perubahan struktur ini ke tahap seterusnya.
''Sebagai contoh, pada suku kedua 2020 Malaysia mencatatkan hampir peningkatan 40 peratus dalam e-dagang dan membuka peluang baharu bagi perdagangan beragihan. Dengan peralihan ke arah platform digital, industri perlu menyesuaikan diri untuk meraih manfaatnya.
"Perniagaan fizikal yang terlibat dalam aktiviti e-dagang telah berjaya diuruskan dengan lebih baik pada masa-masa yang mencabar ini. Bagaimanapun, hanya tujuh peratus daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana telah menggunakan e-dagang sebagai kaedah untuk perniagaan," katanya.
Kementeriannya akan meneruskan usaha untuk memastikan pertumbuhan perdagangan beragihan dalam menghadapi cabaran jangka pendek serta jangka panjang dan salah satu usaha yang akan diambil adalah pembangunan Pelan Induk Perdagangan Beragihan 2021-2025.
''Pelan Induk Perdagangan Beragihan akan menggariskan cabaran, teras strategik dan tindakan bagi sektor perdagangan beragihan untuk pulih serta bergerak ke arah pembangunan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan. Pelan ini akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah jangka sederhana termasuk sebagai sokongan kepada Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.
-- BERNAMA
#KPDNHEP
#menteri
#Alexander Nanta Linggi
#Kempen Beli Barangan Malaysia
#program jualan mega
#perdagangan beragihan