Prestasi pasaran saham sedunia paling buruk sejak 2008

Nailah Huda
Februari 29, 2020 08:11 MYT
Orang ramai berjalan melewati papan saham elektronik yang menunjukkan indeks Nikkei 225 Jepun di sebuah syarikat sekuriti di Tokyo, 28 Feb, 2020. (Foto AP)
PASARAN saham sedunia mengalami prestasi paling buruk dalam minggu yang lalu sejak krisis kewangan global pada 2008.
Ia berpunca daripada kegusaran mengenai penularan wabak koronavirus COVID-19 yang menyaksikan beberapa negara lagi mencatat kes pertama pada Jumaat, termasuk New Zealand dan Nigeria.
Indeks Dow Jones jatuh 357 mata atau 1.4 peratus manakala indeks S&P 500 jatuh 0.5 peratus pada Jumaat.
Rizab Persekutuan Amerika Syarikat turut mengumumkan bersedia untuk mengambil langkah sewajarnya dalam menghadapi impak COVID-19 kepada ekonomi sekiranya perlu.
Selain itu, pasaran di Eropah tidak terasing daripada prestasi buruk pada Jumaat dengan FTSE 100 jatuh 3 peratus manakala Dax di Jerman jatuh lebih 4 peratus.
Di Asia pula, Nikkei 225 di Jepun tutup dengan kejatuhan 3.7 peratus, KOSPI di Korea Selatan 3.3 peratus dan Shanghai Composite di China 3.7 peratus.
Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO meningkatkan penilaian risiko wabak COVID-19 ke tahap tertinggi, namun masih belum mengiktirafkan virus itu sebagai satu pandemik.
Menurut WHO, virus itu kini tersebar ke 56 negara dengan Iran mencatat kematian tertinggi di luar China.
Walaupun kerajaan Iran menyatakan 34 kematian berlaku akibat virus itu, namun sumber memberitahu kepada BBC Iran angka kematian kini sekurang-kurangnya 210.
#COVID-19 #Dow Jones #ekonomi #koronavirus #Kospi #Nikkei #pasaran saham #perdagangan #perniagaan #rizab persekutuan #S&P 500 #saham
;