Prestasi kewangan FGV masih positif disebalik kelemahan harga minyak sawit mentah
Najib Aroff
Februari 29, 2016 18:49 MYT
Februari 29, 2016 18:49 MYT
Untung selepas cukai (PAT) Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) mencecah RM310 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.
Dalam kenyataan, FGV merekodkan hasil RM15.67 bilion bagi tahun kewangan sama berbanding RM15.26 bilion tahun sebelumnya, peningkatan 3 peratus susulan volum jualan minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi.
Suku keempat pula ia merekodkan PAT RM157 juta berbanding RM20 juta suku sebelumnya.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, penurunan keuntungan disumbang harga MSM lebih rendah dan ketidaktentuan nilai ringgit.
Harga MSM jatuh 8 peratus dari RM2410 satu tan pada 2014 kepada RM2210 satu tan pada 2015, sementara nilai Dolar AS mengukuh 20 peratus berbanding ringgit.
“Prestasi keseluruhan tahun lepas sebahagian besar dipengaruhi pergerakkan harga minyak sawit global selepas segmen huluan menyumbang 75 peratus terhadap hasil kumpulan,” Kata Emir dalam satu kenyataan.
Tambah beliau peserta industri menjangkakan cabaran berterusan bagi 2016 susulan ketidaktentuan harga MSM.
FGV meramalkan MSM didagang sekitar RM2200 ke RM2400 satu tan tahun ini.
“Kami kekal komited dengan pelan transformasi kami dan mengukuhkan prestasi dalam waktu mencabar.
“Kami secara agresif meneruskan aktiviti tanaman semula kami sejak empat tahun lepas, mengoptimumkan kos kumpulan, dan mengembangkan aktiviti hiliran untuk mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan huluan,” katanya.
Pengumuman prestasi kewangan ini dilakukan selepas pengumuman anak syarikat Felda Global Ventures Downstream Sdn Bhd (FGVD) yang bakal mengambilalih 55 peratus pegangan dalam Zhong Ling Nutri-Oil Goldings Limited bernilai RM976.3 juta.