Prestasi KDNK cerminkan kadar pendapatan individu di Malaysia meningkat - Penganalisis
Isabelle Leong
Mei 17, 2019 05:44 MYT
Mei 17, 2019 05:44 MYT
Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini yang berkembang pada kadar 4.5 peratus turut mencerminkan peningkatan kadar pendapatan individu di negara ini.
Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Barjoyai Bardai berkata ia sekaligus memberi kesan positif kepada kutipan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau menjelaskan, apabila pendapatan individu meningkat, hasil cukai juga meningkat.
“Apabila pendapatan individu meningkat, kadar cukai yang perlu dibayar meningkat.
“Jadi apabila jumlah cukai yang dikutip meningkat, (ia menunjukkan) tahap pendapatan rakyat telah turut meningkat, khususnya dalam kalangan kumpulan berpendapatan tinggi dan sederhana tinggi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kadar pertumbuhan ekonomi tidak semestinya membayangkan jumlah cukai yang akan dikutip kerana ia juga dipengaruhi oleh beberapa faktor lain.
“Banyak aspek dan faktor lain turut mempengaruhi kadar pertumbuhan ekonomi seperti kesedaran untuk membayar cukai dan pengagihan pendapatan kepada individu-individu yang menjadi pembayar cukai.
“Jadi ia bermakna kadar pertumbuhan ekonomi secara umum akan membayangkan pendapatan cukai yang boleh dikutip dalam negara tetapi ada faktor lain juga menjejaskannya,” tambahnya.
Pada Khamis, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019, melepasi jangkaan penganalisis sebelum ini pada 4.3 peratus.
Bagaimanapun, pertumbuhan tersebut lebih perlahan berbanding suku pertama 2018 pada 5.3 peratus.
BNM mengunjurkan Malaysia akan mencatat pertumbuhan antara 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini.
#Barjoyai Bardai
#ekonomi
#KDNK
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#Lembaga Hasil Dalam Negeri
#LHDN
#pendapatan
#Penganalisis ekonomi