Prasarana perkenal tren Bombardier INNOVIA Metro 300
Harits Asyraf Hasnan
Januari 18, 2016 19:16 MYT
Januari 18, 2016 19:16 MYT
Pengguna LRT laluan Kelana Jaya bakal menikmati perjalanan yang lebih kondusif apabila Prasarana Malaysia Berhad memperkenalkan tren generasi baru, Bombardier INNOVIA Metro 300.
Selain meningkatkan kemudahan ketersambungan dan jarak perjalanan, tren baharu itu juga memberikan tahap keselesaan dan keselamatan yang lebih tinggi kepada pengguna.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, Prasarana telah membeli 14 set tren empat gerabak, dengan set pertama dijangka mula beroperasi pada bulan Jun akan datang.
"Idea untuk menambahkan jumlah tren dalam sistem ini akan meningkatkan frekuensi. Ini bermakna tren ini boleh membawa lebih penumpang dan penambahan tren bermakna waktu menunggu di stesen juga semakin singkat," katanya pada sidang media Majlis Pengenalan Bombardier INNOVIA Metro 300 di sini hari ini.
Menurut Azmi, tren yang beroperasi kini hanya memuatkan sekitar 200 orang penumpang dalam satu gerabak berbanding tren baharu yang boleh memuatkan hampir 240 orang satu gerabak.
"Tren pertama ini akan mula beroperasi pada Jun ini. Kita akan tambah tren dari semasa ke semasa dan kesemua 14 tren ini akan mula beroperasi di Laluan Kelana Jaya pada Jun tahun depan," katanya.
Tren baharu ini dilengkapi empat kamera litar tertutup di setiap gerabak. - Foto sumber Prasarana
Selain mempunyai reka bentuk yang lebih dinamik, ia juga memiliki bahagian hujung tren aerodinamik dengan bahagian cermin depan dan belakang yang lebih luas untuk pengguna menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.
Berbeza dengan tren LRT laluan Kelana Jaya yang digunakan sekarang, tren itu dilengkapi empat kamera litar tertutup di setiap gerabak.
Setiap gerabak juga dipasang dengan kemudahan sistem informasi penumpang, iaitu kemudahan infortainment untuk hiburan dan maklumat kepada para penumpang.
Direka, dibangunkan dan diuji di Bombardier's Centre of Competence for Mass Transit System di Kingston, Kanada, tren pertama model INNOVIA Metro 300 ini sampai di Malaysia pada 18 Disember tahun lalu selepas lebih dua bulan perjalanan melalui laut.
Tren-tren ini dihantar ke Malaysia secara berperingkat dengan tren kedua dijadual tiba akhir bulan depan. Tren ke 14 dan yang terakhir akan dihantar dari Kanada pada Mac tahun depan.