Prasarana optimis My30 mampu lonjak semula jumlah pengguna

Bernama
Jun 15, 2020 14:41 MYT
Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan bermula 10 Jun lepas, jumlah pengguna meningkat kepada 33 peratus berbanding semasa PKP Bersyarat yang meningkat sekitar 20 peratus. - Gambar fail
Pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan bermula hari ini untuk pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang dijangka dapat melonjakkan kembali jumlah pengguna perkhidmatan itu.
Ketua Pegawai Operasi Prasarana Muhammad Nizam Alias berkata sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan bermula 10 Jun lepas, jumlah pengguna meningkat kepada 33 peratus berbanding semasa PKP Bersyarat yang meningkat sekitar 20 peratus.
"Untuk kembali ke angka asal mungkin mengambil masa sedikit tetapi kita optimis dengan pengenalan My30 pada hari ini akan menggalakkan lebih ramai pengguna termasuk yang mula kembali bekerja dan juga pengguna baharu yang tidak pernah menggunakan perkhidmatan awam ini," katanya pada sidang media di KL Sentral, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Inisiatif My30 diperkenalkan dengan bayaran RM30 untuk tempoh sebulan merupakan pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid di Lembah Klang serta terbuka kepada semua warganegara berkuat kuasa hari ini hingga akhir tahun ini.
Pada masa ini pas My30 hanya sah untuk perjalanan tanpa had di rangkaian RapidKL rel dan dan bas di Lembah Klang dan tidak terpakai bagi rangkaian Rapid Penang dan Rapid Kuantan, katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nizam berkata bagi pengguna My100 dan My50 yang masih mempunyai baki, mereka harus menghabiskan baki tersebut sebelum boleh bertukar kepada My30.
Sementara itu, Tajuddin berharap jumlah penumpang akan kembali kepada paras praCOVID-19 iaitu sekitar 800,000 sehari.
"Hanya RM30 (sebulan), pengguna boleh berjimat banyak, sekali gus akan menggalakkan lebih ramai menggunakan kemudahan rel dan bas ini," katanya.
Seorang pengguna, Delia Yaasin, 50, ketika ditemui mengakui penggunaan pas My30 amat menguntungkan kerana pengguna hanya berbelanja RM1 sehari untuk ke mana sahaja dengan menaiki perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang.
"Sejak pelancaran My30 oleh Perdana Menteri pada 5 Jun lepas saya tertunggu-tunggu bila boleh melanggannya ... tidak sangka hari ini dah boleh mohon, jadi sangat berbaloilah terutama pengguna seperti saya yang menggunakan LRT setiap hari," katanya yang berulang-alik dari Ara Damansara ke KL Sentral untuk ke tempat kerja.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Lembah Klang #Muhammad Nizam Alias #My30 #PKPP #Prasarana Malaysia Berhad #Rapid Kuantan #Rapid Penang #RapidKL #Tajuddin Abdul Rahman
;