Prasarana meterai MoU kerjasama kereta api dengan MRT Jakarta

Bernama
Oktober 27, 2015 21:09 MYT
Prasarana Malaysia Bhd akan berkongsi pengalaman perancangan dan operasi jalur kereta api bandar dengan pengendali Indonesia.
Prasarana Malaysia Bhd, pemilik dan pengendali aset terbesar pengangkutan awam darat Malaysia, merekodkan satu lagi kejayaan dalam usaha niaga antarabangsa apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT MRT Jakarta di ibu negara Indonesia semalam.
Menurut Prasarana dalam satu kenyataan hari ini, di bawah kerjasama itu, syarikat tersebut akan berkongsi pengalaman perancangan dan operasi jalur kereta api bandar dengan pengendali Indonesia.
Unit Prasarana, Rapid Rail Sdn Bhd, yang mengendalikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorail di Lembah Klang akan mengkaji kemungkinan pertukaran maklumat dan kepakaran dalam teknikal dan operasi, serta pengetahuan untuk meningkatkan dan mewujudkan keupayaan bersama.
Menurut Prasarana, yang akan mengendalikan jalur Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) Malaysia pertama antara Sungai Buloh dan Kajang pada 2017, kerjasama itu dijangka mewujudkan nilai untuk sistem pengangkutan awam di Jakarta.
MoU yang ditandatangan bersandarkan hubungan dua hala yang amat baik antara Malaysia dan Indonesia itu akan menyaksikan Prasarana dan MRT Jakarta memulakan kerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan operasi kereta api dan metro di Jakarta.
MRT Jakarta, syarikat milik kerajaan tempatan, ditubuhkan untuk membangunkan, memperoleh dan mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan kereta api di wilayah Jakarta, seperti sistem MRT dan LRT.
MRT Jakarta mengendalikan dua koridor -- koridor selatan ke utara dan koridor timur ke barat.
Fasa pertama, jajaran koridor selatan ke utara sepanjang 25 kilometer (km) dengan 21 stesen keseluruhannya, dijadual siap pada 2018, manakala fasa kedua pada 2020.
Koridor timur ke barat dengan 87km dan 48 stesen dijadual memulakan operasi pada 2024.
#Indonesia #Jakarta #LRT #MRT #Prasarana Malaysia Bhd #Rapid Rail Sdn Bhd
;