Prasarana jangka operasi Makkah Metro meningkat musim haji depan

Astro Awani
Oktober 1, 2015 08:24 MYT
Dengan menggunakan 15 set tren 12 gerabak, MMMSL mampu membawa sehingga 3,500 penumpang pada satu masa sepanjang laluan 18.1 kilometer yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Selepas kejayaan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerajui operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) buat julung kalinya di Tanah Suci pada musim Haji ini, syarikat itu menjangka ia perlu meningkatkan lagi operasinya pada musim Haji depan.
Sehubungan itu, Pengerusi Prasarana Tan Sri Ismail Adam meminta para petugas MMMSL membuat persediaan awal bagi memastikan kelancaran operasinya pada 2016.
"Tahun depan, cabaran adalah lebih tinggi kerana jangkaan orang ramai akan meningkat. Kita perlu lebih bersedia," katanya pada majlis makan malam bagi meraikan para petugas MMMSL di Makkah pada Isnin.
Menurut kenyataan Prasarana di sini, pada Rabu kontrak pelantikan Prasarana sebagai operator pengendali MMMSL ditandatangani dengan kerajaan Arab Saudi pada 3 Mei lepas namun, proses penyerahan fasiliti daripada kontraktor terdahulu, China Railway Construction Consortium (CRCC) hanya dilakukan pada Jun lepas.
Ismail berkata walaupun menghadapi pelbagai cabaran kerana tempoh persediaan yang singkat, Prasarana yang dibantu para petugas daripada Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melaksanakan tugas itu dengan jayanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz turut mengingatkan MMMSL supaya membuat persiapan rapi lebih awal bagi operasi Haji tahun depan.
"Saya ingin mengucapkan syabas kepada anda semua kerana berjaya melaksanakan amanat yang telah diberikan dan mengharumkan nama baik Malaysia. Kita di sini bukan membawa imej Prasarana tetapi nama baik Malaysia seluruhnya.
"Walaupun berjaya, kita perlu terus sedar bahawa cabaran adalah lebih besar pada tahun depan dan kita perlu pertingkatkan lagi prestasi kita supaya dapat melaksanakan tugas kita dengan lebih baik lagi tahun depan," katanya pada majlis itu.
Pengarah Urusan MMMSL Bukhari Mohamed pula berkata kejayaan itu adalah pengiktirafan kepada kredibiliti dan komitmen barisan pengurus-pengurus muda Prasarana yang ditempatkan di Makkah sejak Jun lepas untuk mengetuai bahagian-bahagian di bawah operasi MMMSL.
Dengan menggunakan 15 set tren 12 gerabak, MMMSL mampu membawa sehingga 3,500 penumpang pada satu masa sepanjang laluan 18.1 kilometer yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina.
#Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line #MMMSL #Prasarana Malaysia Berhad #Tan Sri Ismail Adam
;