Prasarana dan TFL bekerjasama jadikan pengangkutan awam bertaraf dunia
Malik Ridhwan
Februari 15, 2016 23:38 MYT
Februari 15, 2016 23:38 MYT
Syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan awam negara, Prasarana Malaysia Berhad akan memulakan program penempatan kerja atau Work Placement Exchange Program dengan syarikat sistem pengangkutan United Kingdom Transport For London (TFL).
Ia bagi memudahkan perkongsian maklumat teknikal dan operasi dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam di Malaysia.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz, kerjasama ini adalah sebahagian daripada inisiatif Prasarana untuk meningkatkan keupayaannya sebagai penyedia pengangkutan awam bersepadu global.
"Kita hendak transformasikan Prasarana untuk memberi ruang dan peluang untuk kakitangan kami mendapat banyak input dan juga meningkatkan kemahiran mereka supaya apa yang tersedia dapat dipertingkatkan dan hasilnya akan dapat dinikmati oleh pengguna pengangkutan awam," katanya.
Program penempatan ini melibatkan pegawai-pegawai kanan dari kedua organisasi yang akan terlibat secara bersama dalam projek-projek tertentu untuk tempoh sekurang-kurangnya dua bulan.
Ia juga akan melibatkan perkongsian kepakaran profesional dan pengalaman antara Prasarana dan TFL.
Terdahulu, Azmi yang mewakili Prasarana menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai program penempatan kerja dengan TFL yang diwakili Pengarah Urusannya, Leon Daniels.
Sementara itu, Daniels percaya kerjasama strategik ini bakal menjadi permulaan ke arah kerjasama dalam mengatasi masalah pengangkutan bandar di seluruh dunia.
"Setiap bandar yang sedang berkembang pesat mempunyai versi masalah yang sama. Terlampau sesak, peningkatan populasi, peningkatan aktiviti ekonomi dan kebimbangan tentang tahap pencemaran dan kualiti udara.
"Dengan kerjasama seperti ini, kita akan dapat mengatasi masalah ini, belajar dari satu sama lain dan meningkatkan tahap serta memperbaiki isu yang menyelubungi sistem pengangkutan kita," katanya.
Cabang pengangkutan permukaan TFL bertanggungjawab menguruskan rangkaian jalan raya utama sepanjang 580km dan 6,000 lampu isyarat termasuk polisi pengangkutan serta aktiviti penguatkuasaan di kota London.
Kerjasama dua negara ini merupakan lanjutan daripada perjanjian yang ditandatangani antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Kementerian Pengangkutan Britian pada 2011.
Turut hadir menyaksikan pemeteraian MoU tersebut adalah Pengerusi Prasarana Tan Sri Ismail Adam dan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell.