Prasarana buat persiapan terakhir sebelum rel Mekah Metro beroperasi Isnin

Dania Zainuddin
September 19, 2015 16:54 MYT
Prasarana melaksanakan persiapan terakhir sebelum rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Mekah Metro memulakan operasinya Isnin depan.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melaksanakan persiapan terakhir sebelum rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Mekah Metro memulakan operasinya Isnin depan.
Ketika ini, Prasarana sedang menjalankan kerja penyelenggaraan fasiliti stesen dan infrastruktur luaran termasuk kerja pembersihan serta penggantian bahagian yang rosak.
"Skop kerja Prasarana bukan sekadar menyelia operasi dan penyelenggaraan tren semata-mata, malah fasiliti stesen seperti lif, tandas, platform dan lampu limpah adalah tanggungjawab kami.
"Keselesaan dan keselamatan jemaah haji adalah keutamaan kami," kata Ketua Jabatan Penyelenggaraan Fasiliti dan Pentadbiran Prasarana, Ishak Jahari dalam satu kenyataan hari ini.
Prasarana menempatkan 82 kakitangan di semua sembilan stesen bagi memastikan kerja penyelenggaraan fasiliti siap mengikut jadual.
Ia bagi memastikan kelancaran dan keselesaan 350,000 jemaah haji dari Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Selatan yang bakal menggunakan perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugaddassah selama tujuh hari.
Antara cabaran yang dihadapi adalah petugas adalah tempoh bekerja yang lebih panjang pasca insiden ribut yang melanda Mekah baru-baru ini.
Pada 11 September lepas, ribut yang melanda tersebut telah menyebabkan pokok tumbang yang mengakibatkan beberapa kemudahan lain rosak seperti lampu dan longkang.
#Al Mashaaer Al Mugaddassah #ishak jahari #Mekah Metro #prasarana #stesen
;