Prasarana bakal bangunkan projek TOD di Lembah Klang

Fareez Azman
Jun 11, 2020 18:35 MYT
Projek pertama TOD oleh Prasarana, Ara Sentral dijangka siap pada suku pertama tahun 2022. - Foto Astro AWANI
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bakal melaksanakan Projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) iaitu pembangunan bercampur berdensiti tinggi berhampiran stesen-stesen rel jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias, ia merupakan salah satu penjana hasil baharu 'pendapatan bukan tambang' bagi kumpulan syarikat itu.
"Satu benda yang kebiasaan operator pengangkutan awam bagaimana mengambil faedah pembangunan Projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), ianya telah dilakukan banyak negara seperti di Hong Kong dan Jepun dengan berjaya. Bila kita pergi ke negara itu, kita tidak merasa seperti berada dalam satu stesen tren tapi berada di pusat membeli belah.
"Kita nak wujudkan suasana begini supaya masyarakat dan anak muda melihat pengangkutan awam ini satu trend baharu selari matlamat kita membawa lebih ramai penumpang," katanya ketika ditemubual Astro AWANI.
Bagi projek pertama, Prasarana bakal membangunkan Ara Sentral iaitu dua blok kondominium berserta ruang perniagaan komersial, pejabat, hotel dan servis apartment di tapak seluas 4.9 ekar tanah dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM650 juta.
Ia merangkumi kediaman seluas 500 sehingga 1,200 kaki persegi dengan harga diantara RM500,000 hingga lebih RM800,000.
Tujuh lagi projek di Taman Tun Dr Ismail, Dang Wangi, IOI Puchong, Awan Besar, Glenmarie dan Brickfields.
Sementara itu, Pengerusi Prasana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata menerusi projek itu beliau yakin Prasarana dapat meningkatkan tahap penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.
"Prasarana dapat menikmati nilai hartanah dalam jangka masa panjang, contohnya projek di Ara Damansara ini bernilai RM100,000 juta dan dalam tempoh lima tahun nilainya akan bertambah sehingga RM200,000 juta.
"Jadi Prasarana dapat pendapatan bukan tambang dengan projek ini, itu antara strategi kita menerusi TOD," katanya lagi.
#Hong Kong #Jepun #kediaman #kondominium #LRT #operasi #PENJANA #prasarana #Puchong #rakyat #Stesen Rel #Tajuddin Abdul Rahman #Transit Aliran Ringan #tren
;