Prasarana ambil alih operasi Feri Pulau Pinang bermula esok

Astro Awani
April 30, 2018 17:06 MYT
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng (dua, kanan) menyerahkan lesen operasi perkhidmatan feri kepada Ahli Lembaga Pengarah Penang Port Sdn Bhd pada Majlis Menandatangani Perjanjian hari ini. - Foto Bernama

Bermula esok 1 Mei 2018, Perkhidmatan Feri Pulau Pinang yang menjadi mercu tanda negeri itu akan diambil alih sepenuhnya oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui anak syarikatnya, Syarikat Rapid Ferry Sdn Bhd.

Pengambilalihan operasi feri daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan lebih cekap dan memenuhi keperluan pengguna di negeri itu.

Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheing memaklumkan perkhidmatan feri berkenaan sebelum ini dikendalikan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sejak 1 Januari 1994 berikutan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang ketika itu.

Berikutan pengambilalihan itu, Rapid Ferry sebagai pengendali baharu akan turut mengambil alih semua hartanah milik SPPP di Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda melalui proses pajakan.

"Kita telah memutuskan supaya perkhidmatan kita akan diserahkan kepada pihak Rapid Feri Sdn Bhd kerana kita yakin di bawah anak syarikat prasarana, Rapid Ferry Sdn Bhd, mempunyai pengalaman yang luar biasa dan lebih berpengalaman.

"Kita yakin apabila mereka ambil alih esok, operasi feri di Pulau Pinang akan meningkat dengan lebih baik dan dan perkhidmatan akan lebih sempurna untuk pengguna feri Pulau Pinang," katanya dalam sidang media pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilalihan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang di sini hari ini.

Pada majlis itu, Prasarana diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Rafizee Abd Rahman, manakala PPSB diwakili Pengerusinya, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Teik Cheing berkata, berdasarkan persetujuan Ahli Lembaga Pengarah SPPP dan Prasarana, tambang feri dijangka kekal pada kadar RM7.70 bagi kereta, RM2 bagi motosikal, RM1.20 untuk pejalan kaki dan RM0.60 untuk pelajar.

Bagaimanapun katanya, di bawah Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 dan Akta Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) 1990, SPPP masih kekal berperanan sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Pihak Kawal Selia ke atas operasi serta pengendali perkhidmatan, selain terus mengendalikan pelabuhan sedia ada.

#operasi #prasarana #Prasarana Malaysia Berhad #pulau pinang #SPPP #Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang #Syarikat Rapid Ferry
;