PPIPBM yakin TPPA akan tingkatkan pengeksportan

Dania Zainuddin
Januari 19, 2016 17:37 MYT
Syarikat Bumiputera yang mengeluarkan makanan mempunyai peluang besar dalam pasaran memandangkan permintaan produk halal yang tinggi, kata Nurammar. - Gambar fail
Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM) mengunjurkan jumlah ahlinya yang terlibat dalam pengeksportan akan meningkat sehingga 30 peratus selepas Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dimuktamadkan.
Presidennya, Nurammar Abu Bakar berkata sektor yang dilihat yang berpotensi menembusi pasaran eksport adalah sektor makanan dan barangan pengguna laris (FMCG).
"Malaysia yang terkenal dengan mempromosi produk halal membuka peluang yang tinggi kepada syarikat Bumiputera.
"Syarikat Bumiputera yang mengeluarkan makanan mempunyai peluang besar memandangkan permintaan produk halal yang tinggi," kata Nurammar dalam Sidang Media khas PPIPBM dalam pendiriannya mengenai TPPA di ibu negara pada Selasa.
Mengulas prestasi pengeksportan dari kalangan ahli persatuan, jelasnya dari tahun 2013 hingga 2015, dengan peruntukkan khas RM5 juta oleh kerajaan melalui Matrade, pihak persatuan telah menjalankan pelbagai program eksport.
"Dari program eksport yang dijalankan, ahli persatuan kami berjaya menjana lebih RM700 juta dalam tempoh tiga tahun.
"Itu tanpa TPPA, jika pasaran itu diluaskan lagi, saya yakin syarikat boleh meningkatkan lagi perniagaan mereka ke negara-negara anggota perjanjian itu," katanya lagi.
Tegasnya, perjanjian TPPA adalah peluang yang perlu dimanfaatkan dan perlu dilihat dengan positif.
PPIPBM mengambil pendirian untuk menyokong TPPA dengan mengambil kira perjanjian perlu menjaga kedaulatan negara, hak Bumiputera dan tidak mengurangkan bidang kuasa kerajaan negeri.
"Walaupun pelbagai isu dibangkitkan oleh rakan dan NGO lain, tetapi demi kepentingan ahli kita, kita ambil pendirian untuk sokong TPPA.
"Jika TPPA ditandatangani, agensi kerajaan terlibat perlu membantu perniagaan tempatan secara komprehensif supaya mampu bersaing dan menembusi pasaran luar negara," jelas Nurammar.
Setakat ini, tahap sedia eksport anggota persatuan mencecah 40 peratus daripada 2,000 ahlinya.
Menerusi TPPA, 12 negara yang menandatangani perjanjian berkenaan dibenarkan untuk memperluaskan kerjasama ekonomi di pasaran negara anggotanya secara terbuka.
TPPA bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari dan Dewan Negara pada 28 Januari.
#Bumiputera #Nurammar Abu Bakar #PPIPBM #produk halal #TPPA
;