Portal Fraud Kebangsaan dijangka siap menjelang pertengahan 2024 - BNM

Bernama
September 5, 2023 21:00 MYT
Marzunisham berkata portal tersebut bertujuan mengautomasikan dan meningkatkan keupayaan pengesanan jejak dana terbabit selain mengenal pasti kalangan individu atau kelompok keldai akaun. - Foto fail/FB BNM
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang bekerjasama erat dengan pihak Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan industri kewangan bagi mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan.
Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata portal tersebut bertujuan mengautomasikan dan meningkatkan keupayaan pengesanan jejak dana terbabit selain mengenal pasti kalangan individu atau kelompok keldai akaun.
"BNM sedang bekerjasama dengan industri kewangan serta PayNet bagi menambah baik Pusat Respons Scam Kebangsaan dengan pengautomasian proses mengesan dan menjejak pergerakan dana yang dicuri daripada mangsa scam (penipuan) kewangan.
"Kita berharap langkah ini dapat meningkatkan lagi usaha untuk menjejak dan membekukan dana serta melindungi mangsa daripada mengalami kerugian," katanya selepas program bengkel media dan perbincangan panel mengenai penipuan kewangan di Lanai Kijang BNM, pada Selasa.
Mengulas selanjutnya, Marzunisham juga menyifatkan bahawa perkembangan pesat teknologi tidak hanya memberi banyak manfaat kepada industri kewangan serta pengguna, tetapi turut meningkatkan penipuan yang dijana atau berteraskan kecerdasan buatan (AI).
"Ini adalah sesuatu yang perlu kita bendung dan lindungi. Kita juga tidak mahu memandang remeh kemampuan penipu ini yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdayakan orang ramai," katanya.
Sementara itu pada sesi perbincangan panel, Pakar Risiko Teknologi BNM Ng Lee See berkongsi mengenai bahaya penyalahgunaan teknologi AI di serata dunia bagi tujuan memanipulasi atau menjana kandungan visual dan audio palsu beberapa orang terkenal dengan cara yang sebegitu meyakinkan.
Malah, katanya, dalam keadaan tertentu, teknologi itu menyebabkan mangsa mempercayai ketulenan skim pelaburan yang ditawarkan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka mengenai taktik jahat penipu serta bertindak menyemak lesen skim pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.
Pada masa sama, orang ramai juga boleh merujuk laman sesawang rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk melihat senarai syarikat atau individu yang mempunyai lesen menjalankan perancangan kewangan atau perkhidmatan pelaburan serta laman sesawang BNM bagi meneliti senarai individu atau entiti yang dikawal selia oleh bank pusat tersebut.
Bagi membendung jenayah digital berteraskan AI, Ng berkata institusi kewangan perlu sentiasa peka dengan perkembangan membabitkan undang-undang pelaburan serta operasi keselamatan siber.
"Industri perbankan harus menyokong usaha-usaha kerajaan bagi mengukuhkan lagi keselamatan infrastruktur telekomunikasi," katanya.
Beliau berkata industri perbankan juga telah menjalankan usaha yang baik dari segi pengesanan penipuan menggunakan Kit Pakej Android (APK) yang menyumbang dari segi penurunan kes terbabit.
"Bagaimanapun, kalangan penipu ini sentiasa bertindak menukar taktik dan jenayah itu juga menjadi semakin sofistikated dan rumit," katanya.
-- BERNAMA
#keldai akaun #Portal Fraud Kebangsaan #pergerakan dana #mangsa scam