Port Dickson boleh jadi macam Dubai - Tony Fernandes

Hilal Azmi
Oktober 4, 2018 12:58 MYT
Tony Fernandes teruja untuk menjadikan Port Dickson sebagai destinasi transit yang berjaya sepertimana Dubai. -LinkedIn Tony Fernandes
Pengerusi Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes teruja untuk menjadikan Port Dickson sebagai destinasi transit yang berjaya sepertimana Dubai.
Menerusi perkongsiannya di akaun LinkedIn, Tony menganggap fokus yang diberikan kepada Port Dickson ketika ini memperkuatkan lagi sokongan yang telah diberikan dalam usaha membangunkan 'permata belum digilap' ini sejak bertahun dulu.
"Kedudukannya berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadikannya berpotensi untuk menjadi seperti Pantai Jumeriah di Dubai versi Malaysia untuk pengangkutan penumpang.
"Pembangunan seperti pusat konvensyen, pusat beli-belah serta pusat peranginan antara projek yang kami percaya mampu bawa Port Dickson ke tahap yang baharu.
"Kalau syarikat Emirates mampu bawa penumpang sehingga menjadikan Dubai sebagai destinasi persinggahan yang berjaya.
"Kami berhasrat untuk menggunakan model sama di Port Dickson memandangkan kami telah berjaya mengangkut penumpang dengan jumlah yang lebih besar daripada mereka," katanya.
Jelas beliau lagi, melalui peranan yang dimainkan ini, ia juga mampu meningkatkan taraf komuniti setempat dalam sektor pelancongan.
Sejak 2001, AirAsia Group Berhad (AirAsia) telah mengangkut 500 juta penumpang.
#air asia #destinasi persinggahan #Dubai #Pantai Jumeriah #permata belum digilap #Port Dickson #Tony Fernandes
;