PNB umum dividen ASB 4.25 sen, ehsan 0.75 sen
Hasimi Muhamad
Disember 23, 2020 10:24 MYT
Disember 23, 2020 10:24 MYT
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran pendapatan sehingga 5.00 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan 31 Disember 2020.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Zeti Aziz berkata pengumuman berkenaan merangkumi pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan pembayaran khas ehsan 0.75 sen seunit.
Ia membabitkan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 173.2 bilion unit, tambahnya.
Jelas Zeti, pembayaran khas ihsan sempena ulang tahun ASB ke-30 itu akan diberikan sehingga 30,000 unit pertama.
"Pengagihan pendapatan ini memberikan pulangan efektif sebanyak lima peratus kepada pemegang unit 30,000 dan ke bawah, dan bagi pemegang unit melebihi 30,000 mereka juga menerima manfaat pengagihan ehsan ini.
“Ia adalah tanda penghargaan kami kepada semua unit ASB yang terus setia bersama kami sepanjang 30 tahun dana ini diperkenalkan," katanya pada Majlis Pengumuman Jumlah Agihan Pendapatan secara maya pada Rabu.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Ia sekali gus menyaksikan agihan pendapatan pada tahun ini lebih rendah berbanding 5.50 sen seunit tahun lalu, yang juga pembayaran pengagihan terendah sejak ASB diperkenalkan pada 1990.
Dalam masa yang sama, Zeti berkata walaupun persekitaran ekonomi berdepan cabaran susulan pandemik COVID-19, Aset Di Bawah Pengurusan PNB meningkat dari RM312 bilion kepada RM320.5 bilion, sementara unit dalam edaran meningkat 3.4 peratus kepada 263.2 bilion unit.
Menurut Zeti lagi, prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain, selain ASB terus menjadi pilihan tepat bagi individu yang mempunyai profil risiko rendah dan melabur untuk jangka panjang.
Setakat ini, jumlah pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana sepanjang 30 tahun, sejak mula diperkenalkan pada 1990, adalah sebanyak RM159.6 bilion.
Urus niaga ASB ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 Disember hingga 3 Januari 2021 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.
Untuk rekod pada tahun 2019, PNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit; manakala pada 2018, dividen sebanyak 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.
#Agihan dividen
#PNB
#Agihan dividen ASB
#ASB 2020
#COVID-19
#Zeti Akhtar Aziz
#ASNB
#pembayaran khas ihsan
#panularan pandemik COVID-19