PNB sumbang tiga jentera menuai bernilai RM414,000 kepada Zakat Kedah

Bernama
Februari 14, 2024 05:00 MYT
PNB menyumbang tiga jentera menuai bernilai RM414,000 untuk digunakan oleh peserta program Smart SBBA LZNK di Padang Lumat, Sungai Limau. - Foto BERNAMA
YAN: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyumbang tiga jentera menuai bernilai RM414,000 untuk digunakan oleh peserta program Skim Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Padang Lumat, Sungai Limau, di sini.
Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr Ahmad Basri Ibrahim berkata jentera tersebut yang merupakan sebahagian daripada zakat PNB disumbangkan kepada LZNK yang kemudiannya boleh disewa oleh petani yang terbabit di bawah program tersebut.
Katanya, usaha tersebut bertujuan membantu petani berkenaan mengurangkan kos menuai dan seterusnya meningkatkan keuntungan mereka.
"Petani yang mengusahakan sawah di kawasan lebih 200 hektar milik LZNK di sini akan membayar sewaan jentera menuai lebih murah berbanding menyewa jentera daripada pihak lain sebelum ini.
"Peserta Smart SBBA hanya perlu bayar sekitar RM60 hingga RM70 bagi serelong (0.3 hektar) sawah berbanding RM110 serelong sebelum ini, lebih jimat dan itulah matlamat utama PNB," katanya selepas majlis penyerahan jentera menunai itu kepada LZNK, di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) LZNK, Mohd Faisal Mustaffa.
Ahmad Basri berkata setiap tahun PNB mengeluarkan sebahagian peruntukan dari zakat syarikat itu untuk membantu asnaf serta orang awam yang memerlukan di seluruh negara dari semasa ke semasa.
"Contohnya di Kelantan kita bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Kelantan dalam bentuk ternakan ayam kepada golongan Orang Kurang Upaya, negeri-negeri lain pun kita ada kerjasama dengan yayasan tertentu seperti membantu mangsa banjir dan meringankan beban mereka yang hilang pekerjaan semasa COVID-19," katanya.
Sementara itu, Mohd Faisal berkata LZNK mengalu-alukan usaha pihak korporat untuk bekerjasama dengan lembaga itu dalam mengembangkan projek Smart SBBA bagi membantu meningkatkan hasil tanaman yang diusahakan golongan asnaf di negeri ini.
-- BERNAMA
#PNB #Permodalan Nasional Bhd #jentera menuai #Lembaga Zakat Negeri Kedah
;