PNB kekal optimis terhadap ekonomi Malaysia, prestasi FBM KLCI tahun depan

Bernama
Disember 24, 2024 04:30 MYT
Abdul Rahman berkata dasar seperti NETR dan NSS telah mendapat sambutan yang baik dan seterusnya meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) kekal optimis mengenai prospek ekonomi Malaysia dan bursa tempatan pada tahun depan, antara lain didorong oleh dasar ekonomi yang jelas dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) telah mendapat sambutan yang baik dan seterusnya meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur.
Katanya negara juga kini mencatatkan gelombang ketiga kitaran peningkatan pelaburan, yang banyak disumbangkan oleh aliran masuk FDI.
"Trend positif ini mencerminkan hubungan rapat antara ekonomi dan pasaran saham. Saya percaya momentum yang kita ada pada 2024 akan berterusan pada 2025," katanya pada taklimat bersama editor di Menara 118 di sini.
Pada masa ini, Abdul Rahman berkata sebanyak 77 peratus daripada asetnya dilaburkan dalam pasaran domestik manakala 23 peratus dalam pasaran global.
"Daripada 77 peratus, 60 peratus daripadanya adalah dalam pasaran ekuiti awam domestik. Kami banyak melabur dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI)," katanya.
Ditanya mengenai kebimbangan yang boleh menggugat unjuran tahun depan, beliau berkata: "Antara risiko yang berpotensi ialah walaupun ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi yang baik, ini belum diterjemahkan kepada pendapatan atau prestasi yang lebih baik untuk syarikat Malaysia."
Berhubung Velesto Energy Bhd dan PNB memegang 54 peratus kepentingannya, Abdul Rahman enggan mengulas lanjut dan menyatakan bahawa perbincangan mengenai potensi penjualan sedang berjalan.
Pada 6 Jun lepas, dilaporkan Sapura Energy telah diberikan lanjutan selama sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi kepada perintah bersidang dan sekatan yang diperoleh kumpulan itu daripada mahkamah pada Mac 2024, membolehkannya meneruskan penstrukturan semula hutangnya. Perintah baharu itu berkuat kuasa dari 11 Jun 2024 hingga 10 Mac 2025.
Menurut PNB, ia kekal fokus dalam menilai prestasi portfolionya, menggunakan pendekatan menyeluruh untuk mengenal pasti syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan organik yang kukuh.
-- BERNAMA
#fbm klci #Mahkamah Tinggi #pelaburan langsung asing #Sapura #Bursa Malaysia
;