PNB, ASNB bakal lancar inisiatif Celik Kewangan Belia MADANI - PM Anwar

Ridauddin Daud
Ogos 22, 2024 16:42 MYT
Menurut Anwar, inisiatif itu dibangunkan untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan pelajar dengan objektif memastikan pelajar mempunyai platform untuk melabur. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) bakal melancarkan inisiatif “CELIK MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI”.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan inisiatif -CELIK MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI- yang disasarkan kepada 1 juta pelajar IPTA termasuk pelajar vokasional yang baharu.
  • Program ini dibiayai dengan dana awal RM50 juta yang dibahagikan sama rata antara PNB, syarikat korporat, dan kerajaan.
  • Pelajar di universiti atau kolej akan diminta menyimpan RM50 setiap kali mendaftar, dengan tujuan meningkatkan celik kewangan dan memberi platform untuk melabur sejak usia muda.

Menurutnya, program itu disasarkan kepada 1 juta pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuk pelajar vokasional yang baharu.
Jelasnya, program itu dibiayai dengan dana awal RM50 juta yang dibahagikan sama rata antara PNB, syarikat korporat dan kerajaan.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan menyasarkan pendaftaran 200,000 pelajar setahun selama lima tahun.
Beliau turut mencadangkan setiap kali pelajar mendaftar di universiti atau kolej, terus dimasukkan RM50 ke dalam akaun dan kemudian ditambah sedikit demi sedikit, disimpan lima tahun dan tidak boleh dikeluarkan.
“Saya percaya universiti dan kolej-kolej juga akan memberi kerjasama supaya memudahkan program ini. Kita kadangkala umum tetapi pelaksanaan itu banyak, leceh.
“Sebab itu bila saya umum kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini, tepukan gemuruh, saya terus beri amaran.
“Hari ini umum, hari Jumaat, hari Isnin kalau tiada di JPJ, di hospital, di lapangan terbang, di Kastam, kalau lembab macam dulu juga, saya tarik balik peruntukan itu.
“Tetapi, saya syukur, kerana kita pantau setiap hari, memang ada satu sikap baharu dan budaya yang lebih baik dalam kalangan penjawat awam.
“Saya ucapkan tahniah dan insya-Allah, wang akan disalurkan,” katanya.
Tambahnya, ASNB akan bekerjasama dengan universiti dan penaja korporat untuk mendaftarkan pelajar sebagai pelabur ASNB dan menjalankan aktiviti kewangan secara berterusan.
Menurut Anwar, inisiatif itu dibangunkan untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan pelajar dengan objektif memastikan pelajar mempunyai platform untuk melabur.
Ia juga adalah bagi menggalakkan pelajar untuk mula melabur pada usia muda, sebelum memulakan pekerjaan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan alat kewangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam pada Khamis.
#Anwar Ibrahim #ASNB #PNB #saham #Institusi Pengajian Tinggi #IPT