PNB agih pendapatan 6.00 sen seunit untuk ASB2

Harits Asyraf Hasnan
Mac 28, 2019 15:12 MYT
Dr Zeti Akhtar Aziz mengumumkan agihan pendapatan ASB2 dan ASM di Kuala Lumpur pada Khamis. - fotoBERNAMA
Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019.
Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz turut mengumumkan pengagihan pendapatan untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 5.50 sen seunit bagi tahun kewangan sama.
Sementara pengagihan pendapatan untuk unit amanah ASN Equity 3, ASN Imbang 1 dan ASN Sara 1 adalah sebanyak 4.10 sen seunit, 4.20 sen seunit dan 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan sama.
Secara keseluruhan, PNB mengagihkan dividen sebanyak RM15 bilion pada tahun 2018, iaitu jumlah terbesar yang pernah diagihkan sejak penubuhan PNB.
Menurut Zeti, walaupun didepani persekitaran ekonomi yang dijangka kekal tidak menentu bagi tahun 2019, PNB akan melakukan yang terbaik dalam menempuh waktu yang tidak menentu ini bagi memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit amanah saham.
"Di samping memberikan tumpuan dalam mewujudkan nilai kepada pemegang unit kami, para pelabur juga perlu lebih memahami risiko pasaran kewangan.
"Pengagihan pendapatan kami bergantung kepada prestasi pelaburan kami yang turut dipengaruhi oleh iklim pelaburan di mana kami beroperasi," katanya pada Majlis Pembentangan Prestasi Tahun 2018 dan Pelancaran Lapiran Tahunan bagi Tahun Kewangan 2018, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, ujar Zeti, PNB juga akan berusaha untuk mengatasi pasaran melalui proses pelaburan yang mantap serta kriteria pelaburan yang ketat.
#Amanah Saham Malaysia #Amanah Saham Nasional #ASB #ASB2 #Permodalan Nasional Berhad #PNB #Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
;