PMKS optimis prospek pertumbuhan

Nabilah Khaleeda
Ogos 17, 2022 13:03 MYT
SME Bank mendapati Indeks sentimen PKS di Malaysia adalah positif pada 53.8 mata. - Bernama
KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini yakin akan merekodkan pertumbuhan hasil namun masih khuatir dengan ketidaktentuan ekonomi dan dasar.
Menurut Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng, ini kerana perubahan kadar faedah dan suntikan bantuan oleh kerajaan kekal menjadi kegusaran peserta industri.
"Saya yakin pertumbuhan ini akan kekal berlaku seperti yang dicadangkan Bank Negara, ekonomi kita akan pulih sehingga 6.25 peratus," ujarnya.
Tambah William, pembukaan sempadan dan fasa endemik ini adalah bagus buat PMKS, agar dengan keuntungan yang lebih tinggi ini, mereka dapat dikenakan cukai pada tahap yang lebih rendah.
"Ini kerana walaupun kita lihat ramai PKS raih keuntungan yang lebih tinggi tetapi ramai yang tidak mahu melapor kembali ke dalam perniagaan mereka seperti membeli peralatan yang baru dan sebagainya, kerana persekitaran politik dan ekonomi masih tidak menentu. Maka, stimulus yang lebih agresif perlu dikuatkuasakan supaya PKS dapat melabur untuk menaik taraf operasi kami," ulas William lanjut.
Selain itu, katanya cabaran utama dihadapi PKS juga termasuk kekangan tenaga kerja dan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 menjelang akhir tahun ini.
Dalam pada itu, William turut mengulas dapatan kajian yang dilaksanakan Samenta yang mana ia menunjukkan 57% PKS yakin hasil akan meningkat untuk 12 bulan akan datang.
Malah 92% PKS juga yakin prospek industri adalah pada tahap cemerlang, baik atau sederhana.
Beliau pada masa sama turut mengulas dapatan kajian oleh SME Bank yang mendapati indeks sentimen PKS di Malaysia adalah positif pada 53.8 mata.
Indeks kali pertama dikeluarkan oleh SME Bank itu bertindak sebagai pengukur kepada tahap keyakinan PKS khususnya dalam rtempoh pemulihan 12 bulan mendatang.
#PKS #SAMENTA #SME Bank #Bank Negara #endemik
;