PMB Investment di landasan tepat capai sasaran RM2 bilion AUM menjelang 2024

Bernama
Jun 28, 2022 18:56 MYT
Datuk Seri Mahdzir Khalid melancarkan Logo Sambutan Ulang Tahun ke-55 Pelaburan MARA Berhad (PMB) sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-55 PMB dan Pelancaran Dana Unit Amanah Terbaharu PMB hari ini. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran RM2 billion Aset di Bawah Pengurusan (AUM) dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahani Ibrahim berkata, PMB Investment kini mempunyai nilai aset bersih berjumlah RM1.5 bilion setakat Mei 2022.
"PMB Investment optimis untuk mencapai sasaran AUM berjumlah RM2 billion tetapi dalam keadaan pasaran sekarang yang tengah jatuh, agak susah untuk kita capai sasaran itu. Mungkin hujung tahun depan atau awal 2024.
"Tetapi kita ada beberapa langkah seperti kita kena sentiasa ada produk baharu untuk kita mencapai sasaran ini, antaranya menerusi pengenalan PMB Syariah Greater China Equity Fund (PSGCEF). Jadi tahun ini PMB kena keluar satu atau dua lagi produk baharu dan tahun depan keluarkan lagi tiga atau empat produk baharu," katanya.
Mahani berkata, PMB Investment turut menyasar untuk mengumpul sehingga RM20 juta dalam tempoh tiga bulan menerusi dana global ketiganya, PSGCEF yang baru dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.
Sambutan ulang tahun itu juga turut menyaksikan Perjanjian Pelantikan UOB Kay Hian sebagai Penasihat Institusi Saham Amanah bagi memasarkan produk-produk amanah PMB Investment dan perjanjian dengan Pegangan Saham dengan syarikat Evergreen Corporate Sdn Bhd (ECSB), iaitu syarikat kitar semula yang terlibat dalam memproses tayar terpakai menjadi diesel gred industri yang beroperasi di Teluk Gong, Selangor dengan kapasiti pengeluaran 60,000 liter diesel sehari.
"Wilayah Tanah Besar China dipilih kerana PMB Investment belum mempunyai dana yang mensasarkan wilayah ini dan PMB berpendapat wilayah China merupakan pasaran yang sangat besar dan berpotensi untuk meningkat pesat ekoran pembukaan semula aktiviti ekonominya dan pada masa ini saham-saham syarikat yang tersenarai di bursa tersebut masih berada pada paras yang menarik.
"Dana pelaburan syariah ini sesuai kepada pelabur yang mempunyai tahap risiko sederhana hingga tinggi serta mencari pelaburan yang mampu memberi pulangan stabil dalam tempoh tiga tahun atau lebih," katanya selepas Sambutan Ulang tahun Pelaburan MARA Bhd Ke-55 dan Majlis Pelancaran Dana Unit Amanah PMB Investment Bhd.
Madhzir berkata, PSGCEF merupakan dana ke-19 PMB Investment bagi memberi peluang kepada para pelabur memperoleh keuntungan dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Jelasnya, pelancaran dana unit amanah itu menerusi pelbagai portfolio pelaburan syariah yang tersenarai di Dow Jones Islamic Market (DJIM) Greater China Index yang meliputi pasaran wilayah Tanah Besar China, Hong Kong, Taiwan dan Macau.
Strategi pelaburan PSGCEF ialah dengan melabur di antara 70 hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersihnya ke dalam ekuti patuh syariah termasuk sekuriti berkaitan ekuiti yang tersenarai di bursa wilayah Tanah Besar China dan tidak hanya terhad kepada DJIM Greater China Index sahaja.
"Saya yakin dengan pengalaman serta kepakaran dalam pengurusan pelaburan yang ada, PMB Investment akan berupaya memberikan prestasi dan pulangan berpatutan pada masa akan datang.
"Dana tersebut ditawarkan pada harga 50 sen seunit, bermula 26 Mei lalu dengan pelaburan minimum sebanyak RM1,000 untuk pelabur runcit dan RM10,000 bagi pelabur institusi," katanya. - BERNAMA
#PMB Investment Bhd #Aset di Bawah Pengurusan #PMB #AUM
;