PM Najib penuhi jadual sibuk hari kedua WEF

Astro Awani
Januari 25, 2013 04:48 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memulakan hari keduanya di sidang 2013 Forum Ekonomi Dunia (WEF) dengan sesi interaktif bersama stesen televisyen Al Jazeera.
Sesi tersebut akan membincangkan cabaran ekonomi serta risikonya.
Sidang tahunan WEF merupakan satu forum ekonomi yang dinantikan setiap tahun di mana pemimpin berpengaruh dalam pelbagai bidang akan berkumpul untuk membincangkan isu-isu global.
Tema WEF untuk tahun ini adalah ‘resilient dynamism’ dan akan membuka peluang kepada Malaysia untuk mempamerkan pertumbuhan ekonomi serta peluang pelaburan berlatarkan ketidaktentuan ekonomi dunia pada tahun-tahun belakangan ini.
Najib juga dijadualkan bertemu Presiden Swiss Confederation, Ueli Maurer, sebelum menjadi hos kepada majlis makan tengah hari yang akan memberi tumpuan kepada sumber asli Malaysia sebagai peringkat untuk transformasi dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.
Najib juga dijadual bersemuka dengan penganalisis dari Cable News Network (CNN), Fareed Zakaria, untuk satu sesi temuramah berhubung inisiatif dan pencapaian ekonomi Malaysia serta transformasi politik.
Dalam sesi sidang bertemakan “Resilience in Diversity”, Najib bersama dengan rakan sejawatnya dari ASEAN akan berbincang berhubung pertumbuhan rantau ini.
Selain itu, Najib juga akan menganjurkan Malam Malaysia untuk mempersembahkan pencapaian Malaysia pada masa silam dan kemungkinan masa depan.
#CNN #Datuk Seri Najib Tun Razak #fareed zakaria #Malaysia #WEF