PM Najib bentang Bajet 2018
Bernama
Oktober 27, 2017 16:15 MYT
Oktober 27, 2017 16:15 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, tiba di perkarangan Dewan Rakyat kira-kira 3.10 petang dengan memakai baju Melayu berwarna biru.
Sejurus tiba, perdana menteri menuju ke pejabatnya di Aras 2, Bangunan Parlimen untuk membuat persiapan terakhir dan mengaminkan doa yang dibacakan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Datuk Abdul Manaf Mat.
Saksikan pembentangan Bajet 2018 di sini
Beliau kemudian berjalan sambil memegang beg berwarna hitam yang mengandungi dokumen Bajet 2018 menuju ke Dewan Rakyat.
Ini merupakan pembentangan bajet yang kesembilan bagi Najib selepas menjadi Perdana Menteri pada April 2009.
Pembentangan bajet yang menjanjikan pelbagai pengumuman penting dengan mengambil kira kepentingan rakyat daripada semua lapisan masyarakat itu, disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen dan radio tempatan.
Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2018 itu dibuat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan akan dibahaskan oleh para anggota Parlimen di peringkat dasar bermula Isnin hingga 7 Nov.
Ia diikuti sesi jawapan oleh menteri sebelum dibahaskan di peringkat jawatankuasa bermula 14 hingga 28 Nov. -- BERNAMA
#Abdul Manaf Mat
#Bajet 2018
#Dewan Rakyat
#Menteri Kewangan
#Najib Razak
#Pandikar Amin Mulia
#Perdana Menteri
#Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2018