PM beri bayangan lebih banyak pelaburan baharu bakal diumum

Shafizan Johari
September 13, 2023 12:16 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2023 di Singapura, hari ini. - fotoBERNAMA
SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa wujud peningkatan minat dalam kalangan komuniti pelaburan di Singapura terhadap prospek pelaburan di Malaysia.
PM Anwar berkata, beberapa syarikat yang berpusat di Singapura sudah berada di Malaysia, namun wujud peningkatan dari segi minat dan potensi pelaburan ke Malaysia.
Bagaimanapun, jelas Anwar, beliau tidak boleh memberikan sebarang perincian lanjut buat masa sekarang.
“Ramai kalangan komuniti kewangan yang berpangkalan di Singapura berminat untuk mengetahui lebih mendalam tentang Naratif Ekonomi MADANI, mereka minta untuk jelaskan mengenai rangka kerja dan dasar mengenainya.
“Saya juga memaklumkan bahawa dasar itu tidak terhad kepada ekonomi semata-mata, tetapi juga kemanusian dan ihsan,” jelasnya kepada media Malaysia, sejurus selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia anjuran Milken Institute di republik itu.
Tambah Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu, komuniti pelabur memberi sokongan terhadap dasar berkenaan dan mengakui bahawa Malaysia berada di persimpangan untuk bergerak ke hadapan.
“Komuniti pelabur menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan sudah mulakan perkara ini (pengenalan dasar baharu).
“Mereka menyaksikan wujud perubahan yang penting untuk mengangkat dan memacu negara kepada pada sebuah kuasa ekonomi baharu," tambah Anwar.
Terdahulu, delegasi Anwar tiba untuk lawatan kerja ke Singapura dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 10.30 pagi Rabu.
Mereka disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Azfar Mohamad Mustafar.
Turut bersama delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Zambry Kader dan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Anwar juga turut serta dalam Sidang Kemuncak Asia ke-10 anjuran Milken Institute menerusi sesi A Conversation with the Prime Minister of Malaysia yang dikendalikan oleh pengacara dan ketua koresponden antarabangsa Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin.
Sesi berkenaan turut disiarkan di platform media sosial Astro AWANI.
#Anwar Ibrahim #pelaburan Singapura ke Malaysia #Milken Institute Singapura #Naratif Ekonomi MADANI