PM Anwar nafi kerajaan bincang laksana semula GST

Bernama
September 5, 2024 18:27 MYT
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perbincangan tertumpu kepada strategi belanjawan dan cara untuk meningkatkan hasil kerajaan dalam usahanya untuk menangani isu kenaikan kos. - Gambar/ Bernama
VLADIVOSTOK (Rusia): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan tidak pernah membincangkan untuk melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai alternatif kepada pemotongan subsidi.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perbincangan tertumpu kepada strategi belanjawan dan cara untuk meningkatkan hasil kerajaan dalam usahanya untuk menangani isu kenaikan kos.
"Tiada yang khusus (mengenai GST) telah dibincangkan. Sesebuah negara tidak boleh ditadbir berdasarkan khabar angin," katanya pada sidang media hari terakhir lawatan beliau ke Rusia, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai laporan oleh agensi berita asing Bloomberg baru-baru ini yang melaporkan Malaysia sedang menimbang untuk melaksanakan semula cukai tersebut bagi menggantikan pemotongan subsidi untuk petrol yang biasa digunakan ketika kerajaan berusaha untuk meningkat kewangannya.
Anwar berada di sini sempena menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9. Lawatan kerja dua hari beliau ke bandar pelabuhan terbesar di rantau timur jauh Rusia ini berakhir hari ini.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #GST #Rusia #subsidi
;