PM Anwar jumpa 60 pemimpin industri, perniagaan Mesir
Afiezy Azaman
November 11, 2024 11:30 MYT
November 11, 2024 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi negara menghadiri sesi meja bulat bersama 60 pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Mesir serta delegasi perniagaan Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, sesi itu turut dihadiri Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, Hassan El Khatib, pada Ahad.
Beliau berkata, sesi itu dimanfaatkan sebaiknya untuk berinteraksi serta memberi keyakinan kepada mereka terkait peluang pelaburan di Malaysia selain penerokaan usaha sama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di Malaysia.
"Beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga diperbaharui dibincangkan dalam sesi yang produktif ini.
"Insya-Allah berdasarkan polisi Kerajaan MADANI yang jelas serta angka dan penunjuk ekonomi Malaysia yang memberangsangkan di samping pengiktirafan sebagai hab utama dalam bidang semikonduktor dan tenaga hijau di rantau Asia tenggara dapat memacu pertumbuhan ke peringkat global," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Pada Sabtu lalu, Anwar tiba di Kaherah bagi lawatan rasmi empat hari ke Mesir.
Ini merupakan lawatan kedua Anwar ke Mesir selepas dilantik menjadi Perdana Menteri dengan lawatan pertama dilakukan pada Oktober tahun lalu.