PM Anwar bertemu pemimpin industri, penggiat pasaran modal di New York

Bernama
September 21, 2023 13:22 MYT
Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin industri dan penggiat pasaran global pada hari keduanya di New York. - Foto Bernama
NEW YORK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan usaha giat kerajaan untuk menarik pelabur global dengan mengadakan pertemuan dengan pemimpin industri dan penggiat pasaran global pada hari keduanya di New York.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan menyertai perbincangan meja bulat dengan syarikat Fortune 500 di Harvard Club, New York pada pagi Khamis.
Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Perdana Menteri kemudiannya akan berucap pada acara Invest Malaysia New York yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia. Dalam kedua-dua program berprofil tinggi ini, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari Amerika Syarikat.
Bagi separuh pertama tahun ini, Malaysia menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM132.6 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama, melibatkan 2,651 projek yang dijangka mewujudkan 51,853 pekerjaan di negara ini.
Pada petang Khamis, Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan, yang menggalakkan pemahaman dari segi hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.
Anwar yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 akan turut bertemu Perdana Menteri Thailand yang baru dilantik Srettha Thavisin. Pada hari sama, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia' Al Sudani.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #New York #UNGA #MITI
;