PM Anwar akan bertemu pengasas WEF, pimpin sesi pleno ASEAN pada akhir WEF 2025

Bernama
Januari 22, 2025 15:00 MYT
Anwar kini dalam lawatan kerja selama tiga hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.- Foto Bernama
DAVOS (Switzerland): Jadual padat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di hari terakhir Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 pada Rabu, akan dimulakan dengan menerima kunjungan hormat Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Prof Klaus Schwab.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dan kini dalam lawatan kerja selama tiga hari bagi menghadiri sidang itu, seterusnya dijadualkan menyertai satu sesi dialog eksklusif khas beliau dengan barisan pimpinan forum yang bertemakan "A Conversation with Anwar Ibrahim."
Perdana Menteri seterusnya dijadual menyertai jamuan tengah hari sesi Pertemuan Tidak Rasmi Pemimpin WEF (IGWEL).
Beliau kemudiannya akan menyampaikan ucaptama dalam sesi Pleno ASEAN bertajuk "Even Stronger Together" yang menyaksikan Perdana Menteri membincangkan keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 serta peranan penting perkumpulan itu dalam membentuk landskap ekonomi global.
Selepas itu, Anwar dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Libya, Abdul Hamid Dbeibah, Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud dan Perdana Menteri Dick Schoof selain mesyuarat perniagaan dengan TotalEnergies.
Pertemuan dengan Schoof di bandar peranginan Pergunungan Alps ini juga menyaksikan Anwar mengakhiri lawatan kerja beliau ke empat negara yang dimulakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Januari dan seterusnya United Kingdom (15 Januari) dan Belgium (19 Januari).
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #WEF 2025 #Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia #Davos
;