PLWS tingkat pendapatan pekerja mengikut produktiviti - Richard

Wan Syamsul Amly
Oktober 10, 2017 16:09 MYT
Menurut Riot, ia sekali gus dapat memberi merapatkan hubungan serta keuntungan di dalam sesebuah organisasi. - Gambar fail
Sistem upah yang dikaitkan dengan produktivti (PLWS) menjadi ramuan untuk meningkatkan kadar gaji pekerja dengan kerjasama majikan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, ia sekali gus dapat memberi merapatkan hubungan serta keuntungan di dalam sesebuah organisasi.
Jelasnya, pengenalan sistem itu akan menjadikan penambahan pendapatan struktur pekerja secara amnya di negara-negara ASEAN.
"Kerajaan hendak memastikan produktiviti kita ini naik dengan pelaksanakan PLWS.
"Saya sudah beritahu sebelum ini, bahawa kalau majikan mendapat keuntungan yang banyak, jadi keuntungan itu perlu dibahagikan dengan para pekerja.
"Dengan pembahagian itu, pekerja akan berusaha dengan lebih gigih dan bekerja kuat untuk memastikan keuntungan bertambah," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Gaji Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti ASEAN di sini hari ini.
Persidangan sehari itu bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan PLWS dan membina persefahaman mengenainya di kalangan negara-negara ASEAN.
Seramai 250 wakil termasuk Jepun, China dan Korea menyertai persidangan sehari yang menekankan isu produktiviti selain menyumbang dan merealisasikan objektif pekerja ASEAN.
Dalam pada itu kata Richard, PLWS juga usaha kerajaan mempromosi sistem itu secara meluas dan menjadi pintu gerbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
PLWS juga jalan ke hadapan untuk sistem gaji fleksibel dan berdaya saing yang memastikan kestabilan pekerjaan dan mengurangkan pemberhentian sekiranya berlaku kelembapan ekonomi.
Ia adalah sistem upah, yang membuktikan hubungan antara upah dan produktiviti yang akan memastikan kenaikan upah yang sepadan dengan peningkatan produktiviti.
#ASEAN #ekonomi #Persidangan Gaji Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti ASEAN #PLWS #Richard Riot
;