PLUS dijangka mulakan ujian sistem tol tanpa palang menjelang April
Amanz
Februari 11, 2025 08:50 MYT
Februari 11, 2025 08:50 MYT
Kerajaan sebelum ini menyasarkan pelaksanaan laluan tol tanpa palang bermula 2025, namun, dengan pelbagai perkembangan terbaru, tidak diketahui sama ada ia akan diimplementasi secara rasmi tahun ini atau ditangguhkan. - Gambar hiasan/Amanz
BEBERAPA syarikat konsesi lebuh raya kini dilaporkan telah mula ke arah membangunkan sistem tol tanpa palang mereka tersendiri, diterajui oleh PLUS Expressways Berhad. Langkah ini dilihat dalam usaha mengelak berlaku salah guna dan eksplotasi keuntungan ketika pelaksanaannya.
Melalui laporan TheEdge, PLUS dikatakan ingin memulakan ujian rintis untuk sistem tol tanpa palang mereka tersendiri menjelang April.
Buat masa ini, sistem akhir yang akan diguna pakai masih tidak diketahui lagi. Namun, PLUS mempunyai kelebihan melalui anak syarikatnya, Teras Teknologi Sdn Bhd yang kini menyediakan sistem pengumpulan tol elektronik untuk kebanyakan syarikat konsesi lebuh raya.
Pada masa yang sama, syarikat konsesi ini turut bercadang membolehpautkan sistem mereka kelak dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, supaya sekiranya seseorang pemandu mempunyai tol tertangguh yang tidak berbayar, mereka akan perlu menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum dapat memperbaharui cukai jalan.
Untuk rekod, pihak Touch n Go eWallet sendiri telah memulakan usaha menguji sebuah ciri baharu, membolehkan pengguna melalui tol walaupun baki rendah – dan perlu menyelesaikan bayaran tertangguh berkenaan dalam tempoh 24 jam selepas itu, dengan had sehingga RM80 dalam sehari.
Kerajaan sebelum ini menyasarkan pelaksanaan laluan tol tanpa palang bermula 2025 ini. Namun, dengan pelbagai perkembangan terbaru ini, tidak diketahui sama ada kita akan melihat ia diimplementasi secara rasmi pada tahun ini, atau akan ditangguhkan.