Platform digital bantu Mama Food Marketing pasar produk sejuk beku
Astro Awani
Mei 19, 2021 09:11 MYT
Mei 19, 2021 09:11 MYT
KEPALA BATAS: Memulakan operasi perniagaan makanan sejuk beku secara sambilan di rumah merupakan satu cabaran bagi pasangan suami isteri ini dalam memperkenalkan produk mereka dan mendapatkan pelanggan yang ramai.
Namun, ia tidak menjadi penghalang buat Shamshir Azmir Jeffri dan Nor Idayu Ahmad mengembangkan perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu.
Kepesatan dunia digital dengan pelbagai medium komunikasi yang ada ketika ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Shamshir, 36 tahun, demi menjamin kelangsungan perniagaan yang diusahakan.
Kedudukan premis perniagaan yang tidak strategik menjadikan platform digital seperti YouTube medium terpenting dalam usaha mempromosi produk mereka yang menggunakan nama Mama Food Marketing.
"Kami menggunakan 90 peratus platform digital untuk memasarkan produk kami dan mencari pelanggan.
"Kami menggunakan 100 peratus kelebihan platform digital yang ada untuk memasarkan produk.
"Alhamdulillah, menggunakan platform digital, kami dapat meraih jualan yang agak memberangsangkan," katanya ketika ditemui di Kampung Baru Pokok Sena, di sini.
Hasilnya, produk makanan sejuk beku seperti karipap, cucur badak, termasuk ketupat palas keluaran mereka mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dari pelanggan berdekatan, malah dari luar, seperti Perlis, Pahang dan Kuala Lumpur.
Menurut Shamshir, sebelum Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Mama Food Marketing mempunyai beberapa agen dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan yang membantu pemasaran hingga ke luar Pulau Pinang.
Namun, larangan rentas negeri yang dikuatkuasakan kerajaan menyebabkan mereka kini terpaksa memasarkan produk makanan sejuk beku hanya di dalam negeri sahaja.
"Kita memang sangat memerlukan platform pemasaran digital yang membantu golongan seperti kami yang berada di kampung.
"Dengan platform digital ini kami dapat menarik lebih ramai orang untuk membeli produk kami," katanya
Bagi mempelbagaikan produknya, Shamsir berkata, dia turut mencuba menghasilkan minuman kopi yang dibotolkan sebelum dijual kepada pelanggan.
Menurutnya, mereka menggunakan biji kopi yang diimport daripada Amerika Latin bagi menghasilkan minuman kopi yang digemari pelanggan.
Mengulas lanjut, Shamshir berkata, dalam usaha menarik hati pelanggan, dia akan menghasilkan video-video menarik seperti cara penghasilan kopi dan sebagainya, sebelum dimuat naik ke laman media sosial.
Permintaan yang semakin meningkat menyebabkan dia kini membuka sebuah bengkel yang lebih luas di hadapan rumahnya bagi menempatkan peti sejuk beku serta mesin dan peralatan bagi memproses produk makanan dalam skala lebih besar.
Shamshir berkata, menyedari potensi besar perniagaan makanan sejuk beku hari ini, dia akan menggunakan sebaiknya platform media sosial untuk terus mempromosi produk keluarannya.
"Harapan kami adalah dengan penggunaan platform digital ini, perniagaan kami akan terus berkembang sehingga kami mampu membuka cawangan di setiap negeri," katanya.
#pengusaha
#digital
#makanan sejuk beku
#kopi
#video
#pelanggan
#peti sejuk beku
#biji kopi
#JIWA SME
#Mama Food Marketing