Planworth terima Anugerah Enterprise 50, komited bantu perniagaan tempatan

Astro Awani
Oktober 29, 2024 12:20 MYT
Ramanan Ramakrishnan (tengah) menyampaikan Anugerah Enterprise 50 kepada Kuek Andy.
KUALA LUMPUR: Planworth sebuah institusi terkemuka, mengukir sejarah apabila menerima Anugerah Enterprise 50 (E50) pada majlis anugerah yang berlangsung hujung minggu lalu.
Anugerah berprestij ini disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang syarikat dalam membantu ke arah pembangunan negara.
Majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Planworth, Datuk Kuek Andy, penerimaan anugerah ini merupakan penghargaan besar kepada usaha syarikatnya, namun, beliau menegaskan, kejayaan ini dipandu hasil daripada penyertaan pelanggan yang pelbagai.
“Kami tidak berniaga semata-mata untuk anugerah. Keutamaan kami adalah membantu lebih ramai perniagaan tempatan mengurus aliran tunai mereka dengan lebih baik, sama ada syarikat kecil atau syarikat besar,” kata Kuek Andy.
Beliau turut menambah, syarikatnya percaya kepada konsep memberi bantuan dengan ikhlas dan menikmati kejayaan bersama pelanggan yang dibantu dengan objektif memperkasakan dan mengembangkan perniagaan mereka secepat mungkin.
“Membantu keperluan kewangan dan menggembangkan perniagaan pelanggan adalah satu penghormatan buat Planworth.
“Perniagaan yang berkembang mengkukuhkan ekonomi negara seterusnya memberi banyak peluang kepada orang ramai dari segi pekerjaan, perniagaan dan lain- lain,” ujarnya.
Pemilihan syarikatnya dalam E50 bukan sahaja mengukuhkan jenama Planworth di pasaran yang terkenal menerusi tagline “dipercayai, boleh diharapkan, fleksibel”, malah meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kewangan yang ditawarkan.
Anugerah E50 yang diterima menandakan kejayaan besar usaha pasukan pengurusan syarikat tersebut dan mengesahkan peranan mereka sebagai rakan strategik kepada pertumbuhan perniagaan tempatan, sekali gus memberi sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara.
Tahun lalu sahaja, Planworth telah mengeluarkan pembiayaan kewangan sebanyak RM500 juta dan mensasarkan peningkatan kepada RM700 juta pada tahun ini.
Secara keseluruhan, semenjak penubuhan syarikat, Planworth telah menyuntik pelaburan mencecah RM2 bilion dan bakal menjangkau RM3 bilion ke dalam ekonomi negara.
“Kami membantu perniagaan yang tidak hanya mempunyai rekod kewangan yang baik tetapi juga yang menghadapi masalah kewangan termasuk yang memiliki rekod kewangan kurang baik dengan institusi kewangan lain.
"Kami percaya setiap orang berhak mendapat peluang kedua dan mempelajari sesuatu yang penting daripada pengalaman lepas.
"Selain bantuan kewangan, pihak kami turut memberi khidmat nasihat kepada usahawan agar mereka bukan sahaja mengembangkan perniagaan mereka, tetapi menguruskan aliran tunai dengan baik,” tambah jelas Kuek Andy lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, kejayaan syarikatnya hari ini adalah hasil daripada usaha dan kepercayaannya kepada kakitangan syarikat yang sudah dianggap seperti sebuah keluarga.
"Perniagaan adalah kerja yang sukar dan tidak mudah, namun saya bersyukur kerana dikelilingi oleh rakyat Malaysia yang berbakat dan komited dalam membantu lebih banyak perniagaan di luar sana untuk terus berkembang maju," ujarnya.
Mengenai perancangan masa depan syarikatnya, Kuek Andy, berharap Planworth akan terus kekal sebagai peneraju nombor satu dan institusi kewangan bukan bank terbesar di Malaysia.
Planworth menyediakan Solusi Modal Kerja melalui pembiayaan invois (invoice financing), pembiayaan belian (purchase order), pengurusan modal kerja (working capital), pinjaman berjangka (term loan), kredit pusingan (revolving credit), pengurusan penghutang (trade receivables) secara Konvensional dan Islamik untuk bisnes perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada kerajaan (B2G).
Planworth mempunyai kaitan langsung dengan The Grand Columbia Group yang telah beroperasi sejak tahun 1992, dengan nilai aset melebihi bilion ringgit.
#Anugerah Enterprise 50 #Planworth #institusi kewangan #perniagaan tempatan
;