PKS perlu lebih sokongan daripada kerajaan - MIMCOIN
Bernama
September 16, 2017 10:34 MYT
September 16, 2017 10:34 MYT
Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN) berharap kerajaan dapat memberi lebih banyak sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang mencabar.
Presidennya, Datuk Jamarul Khan MS Kadir meminta kerajaan mewujudkan insentif baru seperti pelepasan cukai pendapatan dan pengecualian cukai yang lebih lagi dengan tujuan merangsang pertumbuhan PKS.
"Kestabilan adalah intipati untuk pembangunan perniagaan, tetapi tanpa insentif, usahawan muda tidak akan mendapat motivasi untuk meningkatkan perniagaan mereka kerana pengeluaran dan kos overhead yang tinggi.
"Mereka juga tidak akan dapat mengembangkan perniagaan mereka kerana margin semakin kecil," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada majlis Anugerah Dinar Emas Kedua MIMCOIN 2017 di sini, pada Jumaat.
Jamarul Khan berkata anugerah itu memberi inspirasi dan menggalakkan peneraju perniagaan di negara ini dan bertindak sebagai platform rangkaian, menghubungkan usahawan, termasuk generasi lama dan baru.
Pada majlis tersebut, 35 pemilik perniagaan yang berjaya diberi penghormatan di atas pencapaian mereka.
"Selain anugerah dan Kongres PKS, yang akan diadakan esok, turut diadakan pameran perdagangan, yang mempamerkan beberapa produk dan perkhidmatan kepada pelawat, dan masuk adalah percuma," katanya.
MIMCOIN, pertubuhan bukan keuntungan, ditubuhkan pada 2012 sebagai platform perangkaian bagi komuniti perniagaan Muslim India Malaysia.
-- BERNAMA
#Anugerah Dinar Emas
#bisnes
#Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia
#Jamarul Khan MS Kadir
#Mimcoin
#perniagaan
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS