PKS perlu berusaha tembusi pasaran bernilai tinggi
Bernama
Disember 8, 2017 04:28 MYT
Disember 8, 2017 04:28 MYT
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia perlu terus berusaha menyuntik nilai tambah bagi perniagaan masing-masing serta berani menembusi segmen pasaran bernilai tinggi.
Ketika membuat gesaan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata usaha menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pelaksanaan teknologi juga membolehkan PKS untuk turut menyumbang kepada transformasi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
"PKS tempatan perlu melaksanakan R&D dan teknologi serta meninjau bidang pertumbuhan baharu dalam ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) bagi mencatat pertumbuhan lebih mampan," katanya pada majlis perasmian Anugerah SME100 2017 di sini, Jumaat malam.
Acara tahunan itu bertujuan mengiktiraf perniagaan yang berkembang pesat dalam sektor PKS dan dianjurkan oleh majalah kewangan SME Magazine.
Mengulas selanjutnya, Ong berkata langkah kerajaan memperkenalkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP), dapat mempertingkatkan kestabilan ekonomi serta melonjakkan kelebihan negara dari segi persaingan yang melangkaui sempadan.
"Sejajar hasrat Malaysia untuk bersaing di peringkat global, saya amat berbangga dengan kemampuan usahawan tempatan yang menyokong usaha berkenaan.
"PKS perlu melakukan inovasi berikutan perubahan pesat dunia perniagaan serta turut membantu dari segi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.
#Anugerah SME
#DFTZ
#ekonomi
#Ong Ka Chuan
#pasaran bernilai tinggi
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS
#usahawan