PKS perlu bergerak ke depan seiring persekitaran perniagaan yang berubah - Husni

Bernama
November 7, 2015 09:31 MYT
PKS menyumbang 33 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan terus memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu bergerak ke depan seiring dengan persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
"Rakyat Malaysia perlu bergerak bersama untuk masa depan, mencapai kejayaan berterusan di samping mengekalkan hubungan perniagaan dan mengelak pergeseran," katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Sin Chew 2015.
Menurutnya, komuniti PKS menyumbang 33 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan terus memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
"Di samping sumbangan langsung, ia juga pemangkin inovasi dan pencipta ekosistem banyak hubungan, yang menyokong syarikat lebih besar," tambah Husni.
Ahmad Husni berkata, kerajaan akan melakukan apa yang terdaya untuk menyokong PKS dengan mengukuh dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk operasi perniagaan dan pelaburan dalam bidang seperti membantu akses kepada pasaran, pembiayaan, pemudahaan perdagangan serta latihan.
Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Sin Chew menekankan pendekatan pengurusan strategik dengan sasaran utama ialah PKS melalui pencalonan, diikuti sasaran sekunder dalam sektor korporat bukan PKS berdasarkan jemputan.
Anugerah itu bertindak sebagai penghargaan tertinggi untuk PKS yang mencatat kecemerlangan dalam semua disiplin pengurusan perniagaan penting yang membentuk bahagian strategik pertumbuhan dan kemampanan organisasi.
Sebanyak 145 organisasi dan individu diiktiraf untuk pelbagai pencapaian, terutama penerima 'Pencapaian Kecemerlangan Seumur Hidup' oleh Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.
Anugerah Tokoh Kecemerlangan Perniagaan Terbaik diberikan kepada Pengasas dan Pengerusi Austin Heights Group, Datuk Steve Chong Yoon On.
#Ahmad Husni Hanadzlah #perusahaan kecil dan sederhana #PKS
;