PKS Malaysia yakin berlaku peningkatan hasil kasar - SME Bank

Najib Aroff
Ogos 15, 2022 18:54 MYT
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia kekal optimis, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan prospek masa depan mencabar, menurut Indeks Sentimen PKS SME Bank yang diterbitkan pada Isnin. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia kekal optimis, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan prospek masa depan mencabar, menurut Indeks Sentimen PKS SME Bank yang diterbitkan pada Isnin.
Indeks edisi pertama itu mengariskan bacaan mata 53.8 menandakan perkembangan sentimen positif.
Sebarang bacaan di bawah paras 50 mata menandakan sentimen negatif.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail, 57.3 peratus responden menjangkan persekitaran perniagaan akan bertambah baik dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
“Selaras dengan keyakinan ini, lebih daripada 70 peratus PKS telah menyatakan kepentingan untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan meningkatkan kecekapan operasi.
“Hampir separuh daripada responden beranggapan bahawa pelan pengembangan perniagaan sebagai salah satu tumpuan paling utama tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Indeks Sentimen PKS juga menunjukkan 73.2 peratus PKS menjangkakan akan berlaku peningkatan hasil kasar yang membawa kepada peningkatan keuntungan pada masa hadapan.
Secara khususnya, 82.3 peratus responden dari subsektor penginapan serta minuman dan makanan (F&B) yakin akan berlaku peningkatan hasil, sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan jumlah pelancong asing yang dijangka lebih tinggi.
“Apabila hasil bertambah baik dan disokong oleh permintaan yang mampan, keinginan untuk mengembangkan perniagaan akan meningkat dan ini boleh membawa kepada pengambilan pekerja yang lebih tinggi.
“Walaupun 42.2 persatus daripada PKS bersedia untuk mengambil pekerja, mereka mungkin tidak dapat merekrut tenaga kerja yang mencukupi di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang ketat, sehingga menjejaskan kapasiti operasi mereka.
“Isu kekurangan buruh ini lebih mendesak bagi industri intensif buruh yang seterusnya boleh mengehadkan unjuran pendapatan mereka,” kata Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee.
Tambah Lynette, meskipun PKS semakin bangkit dan faktor keyakinan semakin tinggi, namun mereka kini bergelut dengan peningkatan kos operasi disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan dan harga bahan mentah yang lebih tinggi.
Dua pertiga daripada responden menyenaraikan kos menjalankan perniagaan sebagai faktor utama yang akan mempengaruhi prestasi perniagaan mereka.
Ia diikuti dengan kesukaran untuk mengekalkan pelanggan kerana persaingan yang semakin meningkat dan kekurangan modal.
Hampir 80 peratus daripada responden menyatakan keperluan bantuan tunai melalui pembiayaan, walaupun dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat.
Indeks Sentimen PKS juga menunjukkan 45 peratus daripada responden kini sedang mencari pembiayaan tambahan semata-mata untuk menguruskan keperluan modal kerja mereka.
#perusahaan kecil dan sederhana #PKS Malaysia #Indeks Sentimen PKS #Pasaran buruh
;