PKP: BOBBLE tidak ambil kesempatan buang pekerja
Isabelle Leong
April 3, 2020 11:04 MYT
April 3, 2020 11:04 MYT
Biarpun sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang bermula pada Rabu, syarikat pengeluar penjagaan kebersihan wanita BOBBLE tidak mengambil kesempatan membuang pekerjanya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Malisse Tan berkata, ia sememangnya tempoh yang sukar buat semua syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan beliau sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengekalkan pekerjanya.
Bagaimanapun, Malisse akui, terpaksa memotong gaji pekerjanya sebanyak 50 peratus bermula April.
Katanya, ia merupakan langkah terakhir yang diambilnya bagi mengelakkan pekerjanya daripada menganggur.
“Saya juga tidak mengambil gaji bermula April ini.
“Bagi pekerja yang dipotong gaji 50 peratus, saya memberikan kelonggaran kepada mereka untuk bekerja separuh masa.
“Pada masa yang mereka tidak bekerja dengan BOBBLE, mereka dibenarkan untuk mencari sumber pendapatan yang lain,” kata Malisse ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau memberikan kebebasan kepada pekerjanya untuk membuat keputusan sama ada mereka ingin bekerja sepenuh masa dengan pemotongan gaji atau mencari sumber pendapatan yang lain.
Mengulas mengenai pelan kontingensi dalam mengharungi PKP yang tamat pada 14 April ini, katanya, beliau sendiri turut mengambil alih tugasan penghantaran produk kepada pelanggan.
“Saya mengawasi dan memantau operasi penghantaran produk kepada pelanggan, iaitu sama ada saya membuat penghantaran tersebut atau mencari alternatif yang paling sesuai.
“Menerusi cara ini juga, saya dapat mengurangkan individu yang menyentuh produk tersebut sebelum dihantar kepada pelanggan saya,” tambah Malisse.
Dalam perkembangan yang sama, beliau memuji Program Subsidi Upah yang diperkenalkan kerajaan dengan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.
“RM600 sebenarnya banyak membantu. Saya berharap kerajaan akan memantau suku kewangan ini dengan lebih dekat.
“Hal ini kerana terdapat tiga hingga empat juta pekerja yang masih berhempas pulas untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Pada Rabu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan akan menambah baik bantuan yang akan diberikan kepada PKS bagi menangani masalah kewangan kesan pandemik COVID-19 yang berterusan.
Katanya, berita baik tersebut akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada minggu hadapan, selepas semua hasil mesyuarat di peringkat kementerian, dibawa kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).
#BOBBLE
#EAC
#Malisse Tan
#menganggur
#Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi
#Muhyiddin Yassin
#Pekerja
#pemotongan gaji
#Perdana Menteri
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS
#Program Subsidi Upah