PKP 2.0: Industri perhotelan Negeri Sembilan dijangka rugi RM10 juta

Astro Awani
Januari 19, 2021 12:25 MYT
Haziz Hassan berkata, pelaksanaan PKP memberi impak kepada industri pelancongan negara dan pengusaha hotel adalah antara pihak yang paling terkesan. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Para pengusaha hotel di Negeri Sembilan dijangka akan mengalami kerugian sehingga RM10 juta ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak minggu lalu.
Tidak sampai seminggu PKP 2.0, sebanyak tiga buah hotel di Port Dickson dan Nilai ditutup sementara sebagai langkah pengurangan kos kerugian.
Sinar Harian yang memetik Pengerusi Persatuan Hotel-hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan sebagai berkata, pelaksanaan perintah itu akan memberi impak kepada industri pelancongan negara dan pengusaha hotel adalah antara pihak yang paling terkesan.
Beliau memberitahu, setakat ini sebanyak 35 hotel di Negeri Sembilan berdaftar dengan MAH dengan beberapa hotel lain telah memohon untuk berdaftar selepas PKP.
AWANI Ringkas: PKP di dua daerah di Negeri Sembilan | Polis tiada kuasa batal kompaun PKP
"Berdasarkan perbincangan dengan MAH di seluruh negara, kita menjangkakan industri perhotelan akan mengalami kerugian lebih RM30 juta bagi seluruh negara," katanya di sini, pada Selasa.
Haziz turut menzahirkan kebimbangan dengan situasi itu yang dilihat boleh 'membunuh' industri perhotelan dan pelancongan negara.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelbagai inisiatif diambil oleh para pengusaha hotel termasuk memberi diskaun sehingga 80 peratus bagi penginapan.
"MAH juga sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan bagi sama-sama memastikan industri ini terus membangun selepas tempoh PKP," katanya lagi.
Semalam kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan PKP di daerah Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan bermula hari ini sehingga 1 Februari depan.
Keputusan itu dibuat atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) susulan terdapat peningkatan kes COVID-19 yang sangat tinggi dan mendadak dalam tempoh 14 hari yang lalu.
BACA: PKP 2.0 di Seremban, Port Dickson bermula Selasa
#pelancongan #Port Dickson #Negeri Sembilan #PKP #COVID-19 #Persatuan Hotel-hotel #ekonomi terjejas #perhotelan #kerugian #hotel ditutup #Pengerusi Persatuan Hotel-hotel #MAH #PKP 2 0
;