PKP 2.0: Bank sedia lanjutkan bantuan
Astro Awani
Januari 18, 2021 12:16 MYT
Januari 18, 2021 12:16 MYT
KUALA LUMPUR : Pihak industri perbankan bersedia membantu peminjam yang terjejas susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri di Malaysia.
Kenyataan bersama Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) hari ini memaklumkan, institusi kewangan terbabit akan memberi perlanjutan bantuan pembayaran balik termasuk melanjutkan moratorium sedia ada kepada individu yang terbukti terjejas akibat PKP.
Selain itu, kenyataan itu berkata, institusi kewangan juga telah mengumumkan pemberian lanjutan bantuan bayaran balik bagi mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir berkaitan dan mereka diminta untuk menghubungi bank masing-masing bagi tujuan itu.
ABM dan AIBIM menjelaskan, lanjutan itu melibatkan semua skim bantuan bayaran balik bersasar yang telah diumumkan sebelum ini.
Katanya, ia termasuk pelanggan yang kehilangan kerja pada 2020 atau 2021.
"Mereka boleh memohon bagi bantuan untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa pada atau sebelum 30 Jun depan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Selain itu kenyataan itu memberitahu, individu yang masih bekerja namun pendapatan mereka mengalami pengurangan berikutan COVID-19 juga boleh memohon untuk menurunkan jumlah ansuran bayaran.
Sementara itu, bagi isi rumah M40 juga penerima Bantuan Prihatin National juga katanya, bank-bank membenarkan mereka membuat pengisytiharan diri.
"Isi rumah B40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat boleh memohon bagi sama ada pengecualian bayaran ansuran selama tiga bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
"Usahawan mikro dengan pinjaman atau pembiayaan membabitkan jumlah asal sehingga RM150,000, boleh memohon untuk sama ada penangguhan ansuran selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan," jelasnya.
Menurut kenyataan itu, bantuan pembayaran balik untuk B40, M40 dan perusahaan mikro itu adalah untuk pinjaman atau pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih 90 hari dari tarikh permohonan bantuan bayaran balik yang dikemukakan kepada bank.
Selain itu, semua peminjam atau pelanggan lain yang turut berdepan kesukaran membuat bayaran balik pinjaman atau pembiayaan masing-masing, juga boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej bayaran balik yang sesuai dengan keadaan mereka.
Setakat 31 Disember lalu, katanya, lebih 1.3 juta permohonan bantuan bayaran balik telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus.
"Sejajar dengan tempoh mencabar ini, industri perbankan ingin menggalakkan peminjam atau pelanggan yang mempunyai aturan bayaran balik sedia ada dan sukar meneruskan obligasi itu untuk menghubungi bank mereka bagi bantuan selanjutnya.
"Penerimaan bantuan bayaran balik bersasar dalam tempoh itu tidak akan dimasukkan dalam laporan sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS)," ujar persatuan itu.
#lanjutan bantuan
#Bank Negara Malaysia
#Moratorium
#Maybank
#CIMB
#Bank Islam
#Persatuan Bank-Bank Malaysia ABM
#Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia AIBIM
#bisnes
#banjir
#COVID-19
#PKP