PKP 2.0: Bagaimana peniaga teruskan perniagaan?

Nickyson Nyambar
Januari 12, 2021 08:54 MYT
Peniaga khasnya dalam industri kecil dan sederhana (PKS) boleh disarankan bergiat ecara aktif menerusi platform digital untuk memastikan produk kekal berdaya saing. - Foto Fail
KUALA LUMPUR : Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin menyaksikan negara sekali lagi berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula Rabu ini.
Tempoh 14 hari bagi PKP berkenaan dikenakan di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
Manakala, enam negeri lain dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Sementara, Sarawak dan Perlis pula berada di bawah kategori Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
BACA: PKP 2.0: Lima sektor ekonomi dibenarkan beroperasi - PM Muhyiddin
Jika sebelum ini negara menyaksikan pelbagai sektor terjejas akibat pelaksanaan PKP, bagaimana pula kali ini?
Masih belum reda lagi dengan mengangkat kembali ekonomi, negara seolah-olah diuji apabila negeri-negeri di Pantai Timur pula dilanda bencana banjir awal tahun ini. Tidak hanya terhenti di situ, kemelut politik yang berpanjangan memburukkan lagi keadaan.
Bagaimana dengan nasib rakyat? Ada yang sudah hilang pekerjaan, begitu juga yang putus punca pendapatan.
Tumpuan juga diberikan pada golongan peniaga industri kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara. Adakah PKP sebelum ini sudah mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan segala kemungkinan?
Berikut adalah 10 perkara yang mereka boleh lakukan demi meneruskan perniagaan ketika PKP:
1) Berniaga secara dalam talian
Ramai usahawan di Malaysia meneruskan perniagaan mereka secara dalam talian ketika PKP. Malah, kaedah ini bukan sesuatu yang baharu. Ramai usahawan di Malaysia memanfaatkan kaedah ini termasuk mempromosikan produk jualan di platform digital seperti Shopee, Grab, FoodPanda dan platform e-hailing yang lain.
2) Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) menerusi Tekun Nasional (Tekun)
Bagi peniaga di bawah industry PKS, mereka boleh memanfaatkan inisiatif kerajaan yang membantu mereka melonjakkan kembali ekonomi. Salah satunya adalah Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) menerusi Tekun Nasional (Tekun).
Skim pembiayaan mikro ini membantu usahawan yang terjejas akibat wabak COVID-19 dalam memulih dan memulakan semula perniagaan sedia ada.
3) Tampil dengan cara baharu
Melihat kepada keadaan semasa, peniaga juga berhadapan dengan cabaran bagi memastikan produk jualan mereka kekal relevan. Oleh yang demikian, ketika PKP kita menyaksikan pelbagai strategi jualan, termasuk cara pengiklanan kreatif yang dilakukan oleh pemilik syarikat. Ada yang manfaatkan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.
4) Kemudahan Dana Bantuan Khas (SRF)
Kerajaan menambah peruntukan RM3 bilion kepada SRF untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19, menjadikan jumlah peruntukan berjumlah RM5 bilion berbanding RM2 bilion sebelum ini. Buat peniaga PKS, mereka boleh memanfaatkan bantuan ini.
5) Buka akaun Google My Business
Google My Business (GMB) salah satu platform digital yang boleh dimanfaatkan oleh peniaga. Ini kerana ia adalah merupakan platform pengiklanan secara percuma dengan enjin pencarian internet yang paling terkenal di dunia, Google!
Dengan GMB, sekiranya pencarian bagi nama perniagaan anda di kedudukan teratas, pemilik perniagaan akan diberi ganjaran. Platform ini juga membantu memastikan nama perniagaan muncul di halaman pertama carian Google.
6) Pos sekerap mungkin dalam media sosial
Secara purata, kajian menunjukkan yang seseorang itu meluangkan masa dengan media sosial selama 2 jam dan 22 minit sehari. Melihat kepada PKP yang bakal dilaksanakan, tidak hairan lebih ramai yang meluangkan masa dengan media sosial.
Ini adalah cara terbaik untuk memaparkan perniagaan di media sosial.
7) Jalankan kempen pemasaran emel
Kempen pemasaran email antara saluran pemasaran yang paling berkesan. Selain daripada pulangan yang besar, pemasaran emel membolehkan perniagaan memberikan maklumat-maklumat penting kepada pelanggan mereka dengan kadar segera, lebih-lebih lagi di luar waktu operasi.
8) Tawarkan perkhidmatan penghantaran segera
Salah satu cara berkesan untuk memastikan perniagaan sentiasa berdaya saing adalah dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama atau on-demand service.
9) Lakukan kolaborasi dengan pemain industri
Kolaborasi antara jenama membolehkan sesebuah perniagaan itu lebih dinamik dan menawarkan variasi kepada pengguna mahupun pembeli. Justeru, sekiranya peniaga ingin mengatur strategi dalam memastikan kemampanan syarikat, strategi seperti ini boleh diguna pakai.
10) Implementasikan cara pembayaran E-Wallet dan Cashback
Cara pembayaran juga berubah setelah PKP diimplementasikan. Ramai usahawan mengambil inisiatif untuk mentransformasikan perniagaan mereka, ini termasuk cara pembayaran.
Bagi pelanggan, apa yang dimahukan mereka ketika ini adalah medium yang lebih pantas dan mudah. Justeru, pembayaran secara digital, seperti E-Wallet dan Cashback reward dapat membantu dalam urusan pembayaran ketika norma baharu ini.
#PKP #perintah kawalan pergerakan #Peniaga Industri Kecil dan Sederhana #PKS #Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin #perniagaan atas talian #inisiatif kerajaan #COVID-19 #pandemik
;