PKP 2.0: 4,200 ahli PRESMA dinasihatkan guna sistem nombor elak pelanggaran SOP

Astro Awani
Februari 19, 2021 12:26 MYT
JAWAHAR: Pengalaman ketika PKP sebelum ini banyak memberi iktibar kepada pengusaha restoran bahawa pentingnya pematuhan SOP. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menasihatkan 4,200 ahlinya untuk menggunakan sistem bernombor bagi setiap pelanggan di restoran bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Menurut Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, inisiatif itu perlu dibuat oleh pemilik restoran selepas kerajaan membenarkan pelanggan makan di kedai mengikut saiz meja dan penjarakan fizikal.
“PRESMA menasihatkan kepada lebih 4,200 ahli supaya tampil dengan inisiatif mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa terutamanya pada waktu puncak dengan sistem nombor bagi setiap pelanggan semasa waktu puncak.
“Ia bertujuan mengelakkan restoran sesak dengan pelanggan tanpa penjarakan 1 meter seperti yang dibenarkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Jawahar Ali, pengalaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini banyak memberi iktibar kepada pengusaha restoran bahawa pentingnya pematuhan SOP.
“Berdasarkan pengalaman ketika PKP kali pertama tahun lalu, PRESMA mengesyorkan kepada ahli-ahli di seluruh negara supaya mengambil iktibar daripada operasi perniagaan yang tergendala sebelum ini dengan memastikan semua SOP dipatuhi sebaik mungkin kali ini.
“Selain itu, PRESMA juga menasihatkan pemilik restoran, supaya menyediakan ruang khusus di premis mereka untuk pelanggan yang membeli secara bungkus, bagi mengelakkan terlalu ramai berada di meja makan,” katanya lagi.
Dengan kaedah itu jelas Jawahar Ali lagi, dijangka dapat membantu kerajaan melandaikan lekuk jangkitan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, PRESMA tambahnya turut berharap agar langkah proaktif yang sama terus diambil kerajaan termasuk lanjutan waktu operasi sehingga jam 12.00 tengah malam.
“PRESMA berharap agar kesan daripada langkah proaktif ini, perniagaan yang terjejas dapat berjalan seperti biasa dengan lanjutan waktu operasi sehingga 12 malam seperti sebelum wabak melanda.
“Beberapa isu juga akan dibawa kepada pertimbangan kerajaan selepas ini termasuklah kemudahan pinjaman tanpa syarat kepada peniaga terjejas, subsidi sewa serta isu pemutihan pekerja asing yang memerlukan pendekatan menang-menang kepada industri ini,” ujarnya lagi,
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan membenarkan jumlah pelanggan yang makan di satu meja melebihi dua orang mulai Jumaat.
BACA: Sudah boleh makan lebih dua orang semeja - Ismail Sabri
Namun ia ditentukan mengikut keluasan meja makan dan penjarakan fizikal antara pelanggan.
#PKP #COVID-19 #Presma #restoran #pelanggan #Jawahar Ali Taib Khan #saiz meja #penjarakan fizikal
;